• Isteri Nabil Akui Terkena Tempias Kritikan Negatif

    Published: Tuesday, 21 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Isteri Nabil Ahmad, Zira Ayub, mengaku beliau turut terkena tempiasnya apabila netizen melemparkan komen berbaur negatif terhadap gaya pengacaraan suaminya dalam program Gegar Vaganza (GV) musim keempat.

    Zira atau nama penuhnya, Nazirah Ayub, bagaimanapun memilih untuk tidak masuk campur dalam urusan kerjaya lelaki terbabit.

    "Semestinya sebagai isteri, saya turut terkena tempias apabila orang di luar sana mempertikaikan kerja Nabil. Namun, saya memandangnya dari segi positif dan menetapkan minda, ia hanyalah sebuah program televisyen.

    "Begitupun, ada di kalangan netizen yang sengaja ingin menjatuhkan dengan melemparkan sesuatu kata-kata tanpa asas. Jadi, saya memilih untuk mengetepikan komen sebegitu. Namun, kritikan membina yang dapat membantu perkembangan kerjaya, saya jadikannya sebagai panduan atau rujukan.

    "Sebagai pengacara, penting untuk seseorang menjadi dirinya sendiri, namun tetap memastikan sesebuah majlis atau acara lebih meriah dengan kreativiti tersendiri," katanya kepada BH Online.

    Beliau berkata demikian ketika hadir ke konsert keempat GV musim terbaru, Ahad lalu, di Bukit Jalil, sebagai tanda sokongan kepada suaminya yang mengendalikan rancangan itu bersama artis komedi, Jihan Muse.

    Jenaka spontan Nabil ketika mengacarakan program nyanyian itu sebelum ini turut mengundang kritikan sesetengah anggota masyarakat. Sebagai hos rancangan terbabit, beliau dikatakan menyinggung sensitiviti sesetengah pihak menerusi jenakanya.

    Nabil dan Zira berkahwin pada 30 September 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Isteri Nabil Akui Terkena Tempias Kritikan Negatif "