• Israel Letup Terowong Dari Gaza

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    BANDAR GAZA: Ketegangan meningkat semalam selepas satu operasi Israel meletupkan terowong dari Semenanjung Gaza mengorbankan tujuh pejuang Palestin, dalam insiden terburuk sejak perang 2014.

    Tujuh lelaki terbabit, daripada sayap senjata Hamas dan kumpulan sekutu Islamic Jihad, terbunuh kelmarin apabila Israel meletupkan terowong dikatakan melintasi wilayahnya dan bertujuan untuk serangan.

    Jenazah mereka dikebumikan semalam di kejiranan di sini.

    Pemimpin Hamas, Ismail Haniya hadir dalam majlis pengebumian itu di tengah Gaza dihadiri ribuan penduduk, kata saksi sementara individu kanan kumpulan itu, Khalil al-Hayya memberi ucapan di selatan semenanjung berkenaan.

    "Hamas tahu bagaimana menguruskan konflik dengan musuh dan bagaimana membalas dendam serta melakukan serangan pada masa dan tempat yang menjejaskan musuh," kata Hayya menerusi satu kenyataan.

    Hamas dan Israel terbabit dalam tiga peperangan sejak 2008 dan konflik terakhir pada 2014 berkaitan terowong dari Gaza yang digunakan untuk melancarkan serangan.

    Israel berkata, ia sedang memantau penggalian terowong yang panjangnya tidak diketahui ketika itu dan terpaksa bertindak selepas 'pelanggaran terhadap kedaulatan Israel tidak boleh diterima.'

    Ia berkata, operasi itu dijalankan di pihak Israel di sempadan dan menegaskan ia bukan bertujuan memburukkan ketegangan.

    Tiada pembukaan terowong ditemui di pihak Israel. Tentera Israel berkata, terowong itu beroperasi dalam lingkungan bandar Khan Younis di Semenanjung Gaza.

    Operasi itu berlaku pada masa sensitif dengan lawan serpihan Palestin Fatah dan Hamas meneruskan perjanjian penyatuan menyasar menamatkan perseteruan selama sedekad.

    Hamas dijangka menyerahkan kawalan sempadan lingkungan itu kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) hari ini, di bawah perjanjian dibantu Mesir dan ditandatangani 12 Oktober lalu. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Israel Letup Terowong Dari Gaza "