• iPhone X Dijual Lebih Awal Di Korea Selatan

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    SEOUL: Gergasi teknologi Amerika Syarikat, Apple Inc berkata jualan telefon pintar iPhone X di Korea Selatan akan bermula 24 November ini, lebih awal daripada jangkaan.

    Keputusan itu dipercayai berikutan kelemahan prestasi jualan iPhone 8 di negara itu, lapor agensi berita Yonhap.

    Namun, jualan sepenuhnya hanya bermula pada tahun depan disebabkan bekalan yang terhad.

    Model iPhone X (64-GB) akan dijual dengan harga 1.42 juta won (AS$1,274) manakala model 256GB berharga 1.63 juta won.

    Menurut pemerhati industri, penjualan lebih awal model itu berikutan jualan iPhone 8 kurang memberangsangkan sejak berada di pasaran bulan ini.

    Apple sudah menjual 140,000 unit telefon pintar iPhone 8 dalam tempoh dua hari selepas jualan dibuka secara rasmi pada Jumaat, dengan pesanan awal berjumlah 60 hingga 70 peratus.

    Segelintir peminat Apple di Korea Selatan menunggu iPhone X, yang dilengkapi dengan ciri-ciri baharu seperti pengecaman wajah dan paparan pemancar cahaya organik (OLED).

    Jualan iPhone X di peringkat global bermula minggu lalu.

    "Nampaknya Apple memperkenalkan iPhone X lebih awal untuk memanfaatkan kekurangan bekalan sebagai strategi pemasaran," kata seorang pegawai syarikat menjual telefon mudah alih tempatan. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " iPhone X Dijual Lebih Awal Di Korea Selatan "