• Insentif Pengecualian Cukai 5+5 Tahun Majukan Syarikat Pemula Niaga -- Najib

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama)--"Kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk pengecualian cukai dengan tempoh 5 + 5 tahun bagi membantu syarikat start-up atau pemula niaga memajukan perniagaan termasuk menembusi pasaran antarabangsa," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Beliau berkata kerajaan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut melaksanakan program Global Acceleration and Innovation Network (GAIN) bagi menyediakan khidmat nasihat dan kepakaran kepada syarikat teknologi tempatan yang berpotensi.

    Sebanyak 149 syarikat tempatan berteknologi tinggi telah mendapat manfaat daripada program seperti ini, katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) yang meminta kerajaan menyatakan insentif dalam membantu usahawan baru yang ingin menceburkan diri dalam ekonomi digital.

    Terdahulu, menjawab soalan asal Shamsul Anuar mengenai peluang usahawan dalam bidang ekonomi digital dan kesan baharu kepada pembangunan masyarakat setempat, Najib berkata program-program pembangunan ekonomi digital di bawah MDEC telah memanfaatkan lebih 194,000 usahawan bagi tempoh Januari tahun lepas hingga September tahun ini.

    Beliau berkata antara program yang dijalankan ialah eUsahawan yang telah memberi latihan kepada 92,926 usahawan muda dan desa melalui kursus yang dijalankan di pusat-pusat institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) awam yang terpilih di seluruh negara.

    Daripada jumlah ini, sebanyak 27,170 atau 29 peratus daripada peserta telah mula melaporkan jualan tambahan keseluruhan yang berjumlah lebih daripada RM112 juta, katanya.

    Beliau berkata daripada jumlah peserta yang telah melapor jualan tambahan sebanyak, lebih 59 peratus adalah dari golongan wanita.

    Najib berkata satu lagi program di bawah MDEC iaitu eRezeki yang mempromosi penggunaan teknologi digital dengan mengupayakan rakyat untuk meraih peluang-peluang ekonomi melalui platform 'crowdsourcing' telah melatih 101,693 individu melalui pusat dan wakil eRezeki di seluruh negara.

    Daripada jumlah ini, sebanyak 57,572 atau 57 peratus telah berjaya menjana pendapatan dengan nilai lebih RM81 juta, tambahnya lagi. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Insentif Pengecualian Cukai 5+5 Tahun Majukan Syarikat Pemula Niaga -- Najib "