• IJM Bina Menara Pejabat RM500 Juta Di TRX

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    IJM Corporation Bhd akan melabur kira-kira RM500 juta untuk membina menara pejabat di Tun Razak Exchange (TRX) di Kuala Lumpur.

    Susulan itu, satu perjanjian jual dan beli saham dimeterai semalam, yang menyaksikan IJM membeli ekuiti keseluruhan Fairview Valley Sdn Bhd, anak syarikat TRX City Sdn Bhd yang membina bangunan komersial binaan khas setinggi 27 tingkat itu.

    TRX City adalah pemaju induk TRX, wilayah kewangan antarabangsa khusus pertama Malaysia.

    "Bangunan pejabat itu yang diperakui penarafan emas oleh LEED serta bergred A, dibina di kawasan seluas 0.48 hektar dengan keluasan lantai kasar kira-kira 560,000 kaki persegi. Ia akan menjadi ibu pejabat baharu bagi operasi Prudential di Malaysia dengan menempatkan semua perniagaan insurans hayat dan pengurusan aset Prudential di bawah satu bumbung.

    "Bangunan yang sedang dibina itu dijadualkan siap pada Disember 2018 dan memperoleh penyewa bagi 84 peratus kawasan boleh sewa bersihnya. Menara komersial itu berada di lokasi strategik berhampiran pintu masuk pejalan kaki utama TRX dari kawasan Bukit Bintang," menurut IJM dalam satu kenyataan.

    LEED adalah program persijilan bangunan hijau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan sistem penarafan bagi reka bentuk dan pembinaan bangunan paling hijau di dunia, iaitu yang paling cekap tenaga dan bangunan paling berprestasi tinggi.

    Bahagian pembinaan IJM iaitu IJM Construction Sdn Bhd, bertanggungjawab melaksanakan pembinaan menara pejabat itu, termasuk kerja-kerja substruktur dan super struktur.

    Bangunan berciri moden kontemporari itu menggabungkan elemen tradisional Malaysia "tengkolok di-Raja" (pelindung kepala raja-raja Melayu), dibina khas untuk menyokong keperluan pelbagai perniagaan Prudential, menurut IJM. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " IJM Bina Menara Pejabat RM500 Juta Di TRX "