• `I Love You' Abang Bomba

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    Tiga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 52 pelajar sekolah yang terpaksa menaiki lori Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk ke sekolah masing-masing selepas laluan keluar di Jalan Masjid Kampung Pahit Tengah, Gerik, Perak, dinaiki air dalam kejadian banjir kilat pagi ini.

    Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik Mohd Nizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan 1.09 pagi memaklumkan kejadian banjir kilat dan anggota bergegas untuk membuat pemantauan di lokasi.

    Katanya, berlaku limpahan air di Sungai Rui berhampiran sehingga mengakibatkan laluan keluar di kawasan kampung terhalang akibat dinaiki air sedalam 0.7 meter.

    "Seramai 31 pelajar perempuan dan 20 pelajar lelaki dipindahkan dengan menaiki bot sebelum dihantar ke sekolah masing-masing menaiki lori bomba.

    "Kebanyakan yang terbabit adalah pelajar daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Pahit yang berada satu kilometer (km) dari kawasan kampung.

    "Manakala tiga pelajar lagi adalah calon yang sedang menduduki peperiksaan SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Seri Wan Mohamed. Anggota bomba turut menghantar mereka ke sekolah yang berada 15 km dari kampung terbabit," katanya.

    Sementara itu, Mohd Nizam berkata, anggota turut menyelamatkan dua mangsa lelaki berusia 70-an dan 30- an selepas rumah mereka dinaiki air setinggi 0.3 meter akibat banjir kilat di kawasan itu.

    "Bagaimanapun, keadaan masih terkawal dan tiada pusat pemindahan dibuka,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " `I Love You' Abang Bomba "