• Hujan Lebat Seminggu, Laluan Ke Belaga Rosak Teruk

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    BELAGA: Penduduk Belaga kini menghadapi kesulitan untuk keluar ke daerah lain, terutamanya untuk berurusan di Bintulu berikutan keadaan jalan dari pekan kecil itu kini mengalami kerosakan teruk.

    Kerosakan jalan yang dibina menerusi projek Jiwa Murni, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu dikatakan mula berlaku sejak dua tahun lalu apabila dilalui kenderaan berat terutamanya lori balak.

    Ketua Polis Daerah Belaga, Deputi Superintendan Melay Tingom berkata, keadaan bertambah buruk ketika ini selepas hujan lebat berterusan sejak minggu lalu.

    Beliau berkata, berikutan keadaan itu, jalan sepanjang 34 kilometer dari pekan Belaga ke simpang Bakun itu kini hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

    "Ini menyukarkan penduduk yang tidak memiliki pacuan empat roda untuk keluar ke tempat lain.

    "Kita juga bimbang keselamatan pengguna kenderaan yang melalui jalan berkenaan kerana terlalu banyak lubang selain laluan yang curam dikhuatiri boleh menyebabkan kemalangan," katanya.

    Melay berkata, sejak jalan berkenaan mengalami kerosakan dua tahun lalu beberapa kerja menaik taraf dijalankan, namun ia tidak mampu mengatasi masalah kerana kerosakan terus berlaku.

    Sementara itu, seorang penduduk, Lihan Luhat, dari Skim Penempatan Semula Sungai Asap, Belaga berkata, perjalanan dari Belaga ke Bintulu kini semakin lama berbanding ketika jalan berkenaan siap dibina pada 2013.

    "Ketika itu perjalanan ke Bintulu hanya memerlukan masa kira-kira empat jam, tetapi kini boleh mencecah sehingga lapan jam.

    "Perjalanan terlalu perlahan kerana pemandu terpaksa berhati-hati mengelak lubang yang dikhuatiri boleh merosakkan kenderaan," katanya ketika menghubungi BH, hari ini.

    Lebih membimbangkan katanya, jika ada pesakit yang memerlukan rawatan segera di Hospital Bintulu.

    Justeru beliau merayu agar jalan berkenaan dibaiki segera dan pada masa yang sama beliau mengharapkan penguatkuasaan lebih ketat dijalankan terhadap kenderaan berat yang melalui jalan berkenaan. - BHOnline
  • No Comment to " Hujan Lebat Seminggu, Laluan Ke Belaga Rosak Teruk "