• Hujan Lebat Berterusan Dua Hari

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan berserta angin kencang di Pantai Timur dan beberapa lokasi lain selama dua hari hingga Sabtu ini.

    Hujan berterusan yang boleh mengakibatkan banjir dijangka melanda Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang, Kelantan.

    Tidak terkecuali akan dilanda hujan lebat berterusan adalah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu serta Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Hulu Perak.

    Sementara itu, MetMalaysia, dalam satu kenyataan, pagi ini, mengeluarkan amaran angin kencang kategori kedua di perairan Condore, Reef North dan Layang-Layang hingga Ahad ini.

    Katanya, perairan berkenaan dijangka dilanda angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian hingga 4.5 meter.

    "Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," katanya.

    MetMalaysia turut menjangkakan angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40 hingga 50kmsj dengan ombak hingga 3.5 meter di perairan Samui, Tioman, Bunguran, Reef South, Labuan dan Palawan sehingga Ahad.

    Jangkaan itu turut membabitkan perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Sarawak, Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat, Sabah serta Labuan.

    Amaran angin kencang kategori pertama itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

    "Ribut petir dijangka berterusan di perairan Selat Melaka, Tioman, Samui, Reef North dan Layang-layang hingga lewat pagi ini.

    "Begitu juga di perairan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan dan Terengganu," katanya.

    Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang hingga 50kmsj, laut bergelora dengan ombak hingga 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

    Sementara itu, MetMalaysia mengesan lekukan Tropika, jam 5 pagi tadi, kira-kira 159km ke 443km ke Barat Daya Manila, Filipina.

    "Pergerakan lekukan Tropika ke arah Barat dengan kelajuan 15km/j. Jarak dari bandar terdekat adalah kira-kira 578km ke Timur Laut Kudat, Sabah.

    "Tiada kesan signifikan terhadap Malaysia," katanya. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Hujan Lebat Berterusan Dua Hari "