• Hotel ‘Terkecil’ Di Dunia

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+


    KEBANYAKAN orang akan melupuskan kenderaan lama mereka yang sudah rosak.

    Namun berbeza dengan seorang lelaki apabila dia kreatif mengubah kereta VW Beetle miliknya menjadi sebuah hotel yang didakwa terkecil di dunia.

    Mohammed Al Malaheem, 64, berkata, pelancong yang menginap di hotel miliknya yang terletak di sebuah perkampungan dalam kawasan bergurun akan menikmati pengalaman bertaraf lima bintang.

    "Kampung ini adalah tanah air saya. Saya dilahirkan, membesar dan tinggal di sini.

    "Saya mahu memulakan satu projek untuk menambah baik kawasan ini dan meletakkannya dalam peta pelancongan.

    "Ini kerana mereka terlepas pandang dengan keindahan alam di kawasan ini," kata Mohammed yang lebih dikenali sebagai Abu Ali.

    Kawasan perkampungan Al Jaya terletak berdekatan Al Shoubak iaitu lokasi yang menempatkan istana kurun ke-12 yang dikenali sebagai Montreal.

    Hotel yang mula dibuka pada 2011 itu sering menjadi tumpuan pelancong yang berkunjung ke kawasan itu.

    Hotel berkonsepkan kereta lama itu dihiasi oleh anak perempuannya.Antara kemudahan yang ditawarkan dalam hotel tersebut adalah selimut yang disulam dengan tangan, bantal bercorak tradisional dan manik berwarna-warni.

    Menurut Mohammed, pengalaman menginap di hotel itu amat selesa dan setaraf dengan hotel lima bintang.

    Di sisi kereta lama itu, terpacak satu papan tanda bertulis 'hotel terkecil di dunia'. - mStar

    Subjects:

  • No Comment to " Hotel ‘Terkecil’ Di Dunia "