• Hos TV Bakal Presiden Honduras

    Published: Tuesday, 28 November 2017
    A- A+

    TEGUCIGALPA: Hos televisyen semakin hampir untuk dinobatkan selaku presiden Honduras apabila mendahului dalam pilihan raya yang berlangsung pada Isnin.

    Penyiar terkemuka, Salvador Nasralla, 64 kini memperoleh lebihan lima mata margin ketika kiraan undian mencapai 70 peratus, menurut pegawai rasmi pemilihan itu, Marcos Ramiro Lobo kepada Reuters.

    Kejayaan itu adalah sesuatu yang boleh dibanggakan memandangkan pesaingnya adalah Presiden Juan Orlando Hernandez.

    Bagaimanapun, tidak dinyatakan jumlah undian sebenar yang diperoleh Nasralla, tetapi diramal personaliti itu mendapat 45 peratus, manakala 40 peratus memihak kepada Hernandez.

    "Terima kasih banyak. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini," kata Nasralla di luar pejabat tribunal pilihan raya pada Isnin.

    Sebagai salah satu negara termiskin di Amerika, Honduras sering dihimpit gejala keganasan dengan mencatatkan jumlah kes bunuh tertinggi di dunia.

    Nasralla yang cuba membentuk masa depan lebih baik dalam kalangan golongan muda negara itu telah mendapat sokongan generasi pelapis Honduras.

    "Kami mahukan demokrasi, hak asasi kemanusiaan dihormati, lebih banyak pekerjaan dan peluang untuk golongan muda," demikian kata Samuel Padilla, 25, juruteknik terlatih yang telah dua tahun menganggur.

    Pencalonan Nasralla mendapat sokongan bekas presiden, Manuel Zaleya.

    Bagaimanapun, sebelum keputusan rasmi dibuat, Hernandez masih enggan mengaku kalah dan menganggap desas-desus kemenangan Nasralla bukan sesuatu yang muktamad.

    "Ia belum berakhir lagi," katanya.

    Subjects:

  • No Comment to " Hos TV Bakal Presiden Honduras "