• Hos Terkenal Dipecat Lakukan Gangguan Seksual

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    NEW YORK: Salah seorang hos berita televisyen paling berpengaruh Amerika Syarikat, Charlie Rose, dipecat semalam oleh beberapa saluran televisyen, menjadi tokoh terbaru yang kecundang susulan tuduhan salah laku seksual.

    Ia menjadi tamparan hebat kepada pembaca berita berusia 75 tahun itu yang pernah menemubual ramai tokoh terkenal seperti bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela; bekas Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dan Barack Obama.

    Pemecatan dibuat tidak sampai 24 jam selepas lapan wanita tampil menuduh Rose melakukan gangguan seksual terhadap mereka.

    Dalam laporan Washington Post, lima wanita menggambarkan Rose meletakkan tangannya pada kaki mereka, kadang-kadang di bahagian atas paha.

    Dua daripadanya berkata Rose berbogel di hadapan mereka selepas mandi dan seorang berkata, dia meramas punggungnya pada satu jamuan.

    Dakwaan gangguan itu berlaku sejak 1990-an hingga 2011.

    Wanita berkenaan, dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an, sama ada pekerja dalam rancangan temubual 'Charlie Rose' atau mahu menyertai kakitangannya.

    Semalam, CBS News berkata, tugasan Rose 'ditamatkan' serta-merta selepas apa yang digelar 'tindak tanduk amat mengganggu dan tidak boleh diterima' didakwa oleh wanita yang bekerja dalam programnya bagi stesen penyiar PBS.

    "Tiada siapa boleh betulkan masa lalu. Namun apa yang boleh diterima pada masa lalu tidak boleh diterima lagi," kata Presiden CBS News, David Rhodes. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Hos Terkenal Dipecat Lakukan Gangguan Seksual "