• Hepatitis Pembunuh Senyap, Perlu Rawatan Awal

    Published: Sunday, 26 November 2017
    A- A+


    KOTA BHARU – Keradangan hati atau hepatitis adalah penyakit berbahaya malah 100 kali lebih bahaya berbanding HIV dan Aids, kata Pengerusi Kelab Gastroenterohepatologi Pantai Timur, Datuk Dr Rosemi Salleh.

    Beliau berkata penyakit hepatitis B dan C adalah pembunuh senyap dan boleh membawa kepada risiko kanser hati kronik jika tidak dirawat dari awal.

    “Antara punca penyakit ini adalah melalui pemindahan darah dan hubungan kelamin,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Hepatitis Peringkat Negeri Kelantan yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Dr Mohd Azman Yaakob di sini, hari ini.

    Dr Rosemi berkata berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015, terdapat 325 juta orang seluruh dunia dijangkiti virus hepatitis.

    “Namun dengan peredaran masa dan teknologi terkini, terdapat rawatan berkesan untuk mengawal penyakit hepatitis B serta C dan Kementerian Kesihatan menyahut seruan WHO yang menyasarkan pada tahun 2030 virus penyakit ini dan penyakit berjangkit lain akan dapat dikurangkan,” katanya.

    Dr Rosemi berkata terdapat lima virus hepatitis iaitu A, B, C, D dan E, namun hepatitis B dan C boleh mengakibatkan penyakit hati kronik jika tidak dirawat, sekali gus memberi kesan ekonomi dan beban penyakit yang tinggi kepada negara.

    Beliau berkata masyarakat di Kelantan kurang mengambil berat mengenai penyakit hepatitis dan melalui kajian yang dibuat hanya 40 peratus sahaja yang mempunyai kesedaran mengenai bahaya penyakit itu.

    “Dalam setahun kerajaan perlu memperuntukkan antara RM25,000 dan RM50,000 bagi kos ubat-ubatan untuk seorang pesakit hepatitis B dan C.

    “Penyakit hepatitis senang untuk dikesan apabila pesakit datang mendapatkan rawatan, namun sukar untuk diubati disebabkan kos perubatannya yang tinggi,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hepatitis Pembunuh Senyap, Perlu Rawatan Awal "