• Hebahan Cuaca Lebih Kerap Untuk Rakyat Bersedia

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan meningkatkan kekerapan hebahan maklumat mengenai keadaan cuaca bagi membolehkan rakyat bersedia menghadapi banjir.

    Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata hebahan tersebut akan dibuat melalui platform kementerian itu termasuk media arus perdana dan media sosial dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia.

    “Mungkin yang penting kekerapannya (hebahan) harus kita tingkatkan kerana keadaan cuaca tidak seperti dahulu, susah diramal.

    “Kalau dahulu, kita tahu bulan berapa akan berlaku banjir tetapi sekarang, tidak kisah, ia boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku ‘New Media Political Engagement and Participation in Malaysia’ di bangunan Parlimen, hari ini.

    Dalam pada itu, Salleh berkata kementeriannya telah diminta untuk mengenal pasti dan mengambil langkah sekiranya berlaku gangguan talian komunikasi di kawasan terjejas banjir di Pulau Pinang dan Kedah.

    Bagaimanapun, katanya pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung gangguan talian telekomunikasi pada masa ini.

    Sementara itu, mengulas mengenai buku hasil tulisan Dr Saraswathy Chinnasamy berkenaan, Salleh menzahirkan rasa bangga kerana buku itu mendapat perhatian di peringkat antarabangsa selepas dilancarkan di United Kingdom dan Amerika Syarikat pada 6 Okt lepas.

    Saraswathy yang juga Felo Institut Pengajian Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika ditemui berkata buku terbitan penerbit berprestij dunia, Routledge Publisher berkisarkan hala tuju media perdana dan media sosial di Malaysia.

    “Buku ini juga melihat bagaimana rakyat menerima maklumat sama ada maklumat yang diterbitkan itu dibuat tanpa kesahihan atau telah di putar belit,” katanya.

    Katanya, buku yang berharga RM560 itu menerima maklum balas yang baik di luar negara khususnya dalam kalangan ahli akademik kerana kekurangan bahan rujukan berhubung isu semasa dan politik Malaysia. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hebahan Cuaca Lebih Kerap Untuk Rakyat Bersedia "