• Hasil Kerajaan Dijangka Susut RM1.3 Bilion Dengan Pengurangan Cukai Pendapatan Individu

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Pengurangan 2.0 mata peratusan dalam kadar cukai pendapatan individu dalam Bajet 2018 yang dibentangkan Jumaat lepas akan mengurangkan kutipan hasil cukai kerajaan sebanyak RM1.3 bilion, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

    Bagaimanapun beliau yakin ekonomi negara akan terus dirangsang menerusi perbelanjaan kerajaan yang dirancang.

    "Kami (kerajaan) yakin pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan. Agensi penarafan, Tabung Kewangan Antarabangsa serta Bank Dunia masih memberikan unjuran positif dari segi pertumbuhan ekonomi untuk Malaysia dan juga global.

    "Sebagai ekonomi terbuka, jika prospek global baik, maka ia baik untuk kita. Dan dari pertumbuhan ekonomi kita, kita dijangka dapat mengutip cukai (pendapatan) yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Cukai Kebangsaan 2017 yang dianjurkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

    Semasa membentangkan Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pengurangan cukai pendapatan itu untuk kumpulan pembayar cukai dengan pendapatan bercukai antara RM20,000 dan RM70,000.

    Dalam pada itu, berkenaan pemansuhan empat tol lebuh raya yang akan bermula 1 Jan, 2018, Johari berkata kerajaan akan membayar pampasan tahunan berjumlah kira-kira RM102 juta kepada PLUS Malaysia Bhd (PLUS) bagi tol Batu Tiga and Sungai Rasau di Selangor dan kira-kira RM8 juta bagi tol Bukit Kayu Hitam di Kedah.

    Sementara bagi Lebuhraya Penyuraian Timur (Eastern Dispersal Link) (EDL) di Johor yang dikendalikan oleh Malaysian Resources Corporation Bhd, pampasan dianggarkan sebanyak RM70 juta setahun.

    Ditanya sama ada kerajaan bercadang memansuhkan lagi tol-tol sedia ada di negara ini, Johari berkata kerajaan perlu berhati-hati dalam membuat keputusan itu kerana harus mengambil kira kemampuan kerajaan.

    "Kalau kita tengok PLUS hari ini, ia (PLUS) mempunyai liabiliti berjumlah hampir RM30 bilion melalui pembelian bon.

    "Jadi kita tidak boleh sesuka hati mansuhkan semua tol yang ada kerana ia boleh menjejaskan banyak perbelanjaan kerajaan termasuk pendidikan, kesihatan awam, dan banyak lagi. Kita perlu seimbang," kata Johari.

    Terdahulu, dalam ucapannya, beliau meminta supaya badan professional dan pengamal percukaian yang tidak jelas mengenai mana-mana undang-undang berkaitan percukaian agar berjumpa terus dengan pihak LHDN.

    "Ini penting kerana sebagai penasihat kepada pelangan-pelangan mereka dari segi pengiraan dan pembayaran cukai, sebarang salah tafsir berhubung undang-undang percukaian boleh menyebabkan pembayaran cukai yang tidak betul, sekali gus mengakibatkan jumlah tunggakan atau lebihan yang tidak sepatutnya kepada syarikat-syarikat berkenaan," katanya.

    - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Hasil Kerajaan Dijangka Susut RM1.3 Bilion Dengan Pengurangan Cukai Pendapatan Individu "