• Hanyut Hampir 10 Jam Selepas Lari Operasi PATI

    Published: Wednesday, 29 November 2017
    A- A+

    KOTA TINGGI: Seorang lelaki yang melarikan diri daripada operasi serbuan pendatang tanpa izin, diselamatkan sebuah kapal dagang selepas hanyut hampir 10 jam, pada kedudukan 2.4 batu nautika timur Tanjung Punggai, dekat sini, semalam.

    Lelaki dikenali sebagai Hanafi, 45, itu ditemui oleh kapal dagang, FPSO Perisai Kamelia ketika melalui kawasan berkenaan, kira-kira jam 7.30 pagi tadi sebelum memaklumkan penemuan itu kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

    Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Tanjung Sedili, Komander Mohammad Othman, berkata anggota pasukan itu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan dari Pejabat Operasi Wilayah Selatan yang menyatakan seorang mangsa hanyut didapati terapung, ditemui oleh kapal dagang ketika melalui kawasan berkenaan.

    Katanya, mangsa yang juga pendatang tanpa izin (PATI) dipercayai melarikan diri daripada pihak polis di pantai Tanjung Penawar, dekat sini, ketika menunggu bot pancung untuk pulang ke Indonesia.

    "Bot Peronda Maritim Malaysia yang tiba di lokasi kira-kira jam 10.30 pagi, menemui mangsa dalam keadaan keletihan memandangkan mangsa hanyut kira-kira sembilan jam sehinggalah diselamatkan oleh kru Kapal FPSO Perisai Kamelia pada jam 7.30 pagi.

    "Difahamkan mangsa mula hanyut dari perairan Tanjung Penawar, dekat sini, kira-kira jam 10 malam tadi. Mangsa dipercayai ingin keluar dari perairan negara ini menuju ke Indonesia dan sedang menunggu bot pancung," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Mohammad berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Marina, di sini, untuk pemeriksaan kesihatan di klinik berhampiran dan dihantar ke pejabat Maritim Malaysia Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut.

    Sebelum ini Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Pengerang dalam satu kenyataan memaklumkan menahan 12 warga Indonesia ketika mereka bersembunyi dalam hutan untuk menyusup keluar dan memasuki negara ini, di pantai Tanjung Lompat, Bandar Penawar, dekat sini kira-kira jam 11.30 malam tadi.

    Empat lelaki ditahan ketika bersembunyi dalam hutan dipercayai sedang menunggu bot pancung untuk pulang ke negara asal, manakala lapan lagi termasuk empat wanita ditahan ketika sedang bersembunyi di lokasi berhampiran dipercayai baharu memasuki ke negara ini. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Hanyut Hampir 10 Jam Selepas Lari Operasi PATI "