• Guan Eng Didesak Supaya Mohon Maaf

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+

    GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng didesak mengemukakan permohonan maaf kepada waris 23 mangsa yang terkorban dalam siri kejadian bencana alam yang berlaku di negeri ini, sejak Julai lalu.

    Presiden Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi, berkata semua korban terbabit ialah mangsa kejadian beberapa siri banjir kilat di kebanyakan kawasan di negeri ini, tanah runtuh Tanjung Bungah, dan banjir luar biasa pada Ahad lalu.


    Katanya, permohonan maaf itu perlu dilakukan susulan pendirian kerajaan negeri yang mahu meneruskan projek pembangunan di lereng bukit, walaupun sudah mendapat bantahan daripada beberapa agensi berkaitan berhubung impak kepada orang ramai.

    "Beberapa siri kejadian banjir sepanjang tahun ini juga sudah cukup menunjukkan petanda buruk bakal berlaku kepada penduduk Pulau Pinang.

    "Setiap kali banjir juga kita sudah dapat mengagak sesuatu tidak kena akan berlaku dengan warna air tanah yang dibawa arus banjir dan mustahil jurutera daripada pihak kerajaan negeri tidak tahu mengenainya.

    "Banjir besar pada minggu lalu memang berlaku di semua tempat di negeri ini, tetapi adakah semua tempat itu berlaku tanah runtuh?" katanya yang ditemui ketika mengadakan bantahan di perkarangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.

    Hujan lebat berterusan lebih 17 jam sejak 12 tengah hari Sabtu lalu, memburukkan lagi keadaan banjir di kebanyakan kawasan di negeri ini menyebabkan air naik mendadak dan melumpuhkan sebahagian besar kawasan di Georgetown dan Seberang Perai.

    Minggu lalu, kerajaan negeri memaklumkan sebanyak 119 kejadian banjir kilat direkodkan berlaku di negeri ini, sejak tahun 2013 hingga 15 Oktober lalu, dengan masing-masing sebanyak 22 kali pada 2013; 20 (2014); 26 (2015); 30 (2016) dan 21 kes sama direkodkan sehingga 15 Oktober lalu.

    Pada 21 Oktober lalu, seramai 11 pekerja binaan maut selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan projek perumahan mampu milik di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Guan Eng Didesak Supaya Mohon Maaf "