• GST imbangi sumber pendapatan negara

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+


    MELAKA, - Pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mampu mengimbangi sumber pendapatan negara sekali gus menghasilkan perancangan pentadbiran yang menyeluruh bagi Bajet 2018, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

    Beliau berkata, penurunan mendadak harga pasaran minyak dunia telah mengakibatkan negara kehilangan sumber pendapatan yang tinggi dan ia berjaya diimbangi oleh pelaksanaan sistem cukai itu.

    "Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengiktiraf usaha Malaysia melaksanakan GST dan kerajaan India pernah menjadikan negara ini sebagai contoh sebelum melaksanakan sistem cukai itu. Kerajaan Arab Saudi turut merancang untuk melaksanakan sistem cukai tersebut.

    "Walaupun GST diperkenalkan, kerajaan masih mengambil kira keperluan dan kepentingan golongan yang kurang berkemampuan di negara ini apabila kadar yang dikenakan hanya enam peratus berbanding negara lain yang mengenakan GST dari tujuh hingga lebih 20 peratus," katanya kepada pemberita hari ini.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Tamat Kursus Asas Penguasa Kastam Gred WK41 dan Penolong Penguasa Kastam Gred WK29 di Akademi Kastam Diraja Malaysia di sini.

    Turut hadir Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T. Subromaniam, Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya dan Pengarah Kastam Melaka Datuk Mohd Noor Yusoff. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " GST imbangi sumber pendapatan negara "