• Golongan Wanita Perlu Rebut Peluang Dalam Bidang Keusahawanan

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Pengerusi Rangkaian Ahli Perniagaan Wanita (WBN), Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Datuk Dr Norraesah Mohamad menyarankan agar golongan wanita merebut peluang dan lebih berani berkecimpung dalam aktiviti keusahawanan terutama melalui perniagaan secara online.

    Ini kerana menurutnya, bidang keusahawanan mempunyai potensi cerah untuk maju sekiranya dijalankan bersungguh-sungguh.

    Memetik laporan Utusan Borneo, beliau berkata melalui perniagaan seumpama itu, wanita bukan sahaja dapat menjana lebih pendapatan malah dapat membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

    “Kita di WBN WIEF fokus untuk membangunkan wanita dalam perniagaan dan keusahawanan.

    “Pelbagai program mahupun seminar telah kita laksanakan bagi membantu golongan ini menjalankan perniagaaan mereka dengan lebih meluas,” katanya di sini, semalam.

    Beliau memberitahu, WBN WIEF ditubuhkan untuk mempromosi, memperkembang dan memperkukuh penyertaan wanita dalam perniagaan dengan keyakinan bahawa bidang perniagaan dan keusahawanan sebagai gerbang dan jalan kepada kehidupan berdikari dan kebebasan ekonomi wanita.

    “Tumpuan diberikan kepada pendekatan praktikal dengan menyediakan program latihan untuk ahli perniagaan dan usahawan wanita terutama mereka yang baharu memulakan perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi pengurusan kewangan, strategi pasaran, penjenamaan dan pembungkusan,”jelasnya.

    Justeru, beliau mahu melihat lebih ramai wanita terlibat dengan bidang keusahawanan memandangkan ia merupakan sektor penting untuk peningkatan taraf hidup. – Sarawakiana
  • No Comment to " Golongan Wanita Perlu Rebut Peluang Dalam Bidang Keusahawanan "