• Gesa Ambiga Dedahkan Sumber Isu 1MDB, Najib

    Published: Thursday, 2 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR - Gerakan menggesa bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S.Ambiga untuk mendedahkan sumber maklumat berkenaan dakwaan transaksi kewangan antara 1Malaysia Development Bhd (1MDB), PAS dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata Ambiga sepatutnya menjawab gesaan untuk mendedahkan sumber maklumatnya dan bekerjasama dengan pihak berkuasa supaya satu siasatan penuh boleh dilaksanakan dan ini merupakan peluang beliau untuk mempertahankan dirinya.

    “Orang ramai berhak mengetahui bagaimana beliau mendapat maklumat itu, daripada siapa dan dengan cara apa.

    Tiada ruang bagi McCarthyism di Malaysia, kita tidak boleh ada pemimpin di dalam negara ini yang membuat tuduhan serius terhadap orang lain tanpa bukti yang sepatutnya atau membisu daripada gesaan orang awam bagi memberikan alasan yang kuat kepada dakwaan seseorang terhadap yang lain,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.

    Sebuah portal berita melaporkan Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown, menamakan Ambiga sebagai sumber maklumat terhadap dakwaan Pas menerima RM90 juta daripada perdana menteri.

    Dalam kenyataan pembelaannya pada 11 Oktober lepas terhadap saman yang difailkan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Rewcastle-Brown mendakwa beliau dan Ambiga bercakap mengenai Najib, 1MDB dan Pas pada Julai 2016. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Gesa Ambiga Dedahkan Sumber Isu 1MDB, Najib "