• Gerakan Bakal Bariskan 60% Calon Muka Baharu

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+


    GEORGE TOWN – Gerakan membariskan 60 peratus calon muka baharu untuk bertanding di 45 kerusi tradisi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata mereka akan bertanding bagi 12 kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN di seluruh negara.

    Gerakan sudah bersiap sedia untuk menghadapi PRU14 dan berharap anggota-anggotanya di peringkat akar umbi terus menyokong calon Barisan Nasional (BN), katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa-mangsa banjir di Pulau Pinang hari ini.

    Gerakan kini mempunyai dua kerusi di Parlimen dan tiga kerusi DUN selepas PRU13.

    Menurutnya parti itu juga mahu merampas kembali Pulau Pinang daripada DAP dan telah mengenal pasti beberapa kerusi yang mempunyai peluang menang dalam PRU14.

    “Dengan berbekalkan sumber yang ada, kami akan memberikan tumpuan kepada beberapa kerusi yang ‘mampu menang’ dan perhatian juga akan diberikan kepada kerusi di Pulau Pinang,” katanya.

    Beliau berkata Gerakan mempunyai peluang untuk menang beberapa kerusi di Pulau Pinang selepas melihat kepada mutu perkhidmatan anggota parti yang turun padang untuk membantu rakyat khususnya ketika negeri itu dilanda bencana alam.

    “Kami tidak melihat atau mengambil kepujian berikutan masalah bencana yang melanda Pulau Pinang baru-baru ini kerana masalah ini telah mengakibatkan banyak rakyat pelbagai kaum berada dalam keadaan sengsara.

    “Kami akan terus turun padang untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat supaya mereka kembali menyokong calon-calon Gerakan,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Gerakan Bakal Bariskan 60% Calon Muka Baharu "