• Gempar Harimau Terlepas Di Paris

    Published: Sunday, 26 November 2017
    A- A+


    PARIS – Seekor harimau yang terlepas dari sarkas mencetuskan kekecohan selepas dilihat merayau di bandar ini sebelum ditembak mati pemiliknya kelmarin.

    Anggota bomba dipanggil selepas orang ramai melihat haiwan seberat 200 kilogram itu berkeliaran di Arrondissement de Vaugirard, daerah terbesar di Paris.

    Berita mengenai harimau terlepas itu tular di media sosial dan pihak berkuasa menghentikan sementara perkhidmatan trem di kawasan berkenaan.

    Selepas insiden itu, polis dalam laman Twitter memberitahu, ancaman harimau itu sudah berakhir.

    Harimau itu dilaporkan terlepas dari kandang sarkas Bormann Moreno yang dijadual mengadakan pertunjukan di Paris mulai 3 Disember ini.

    “Pemilik harimau ini masih dalam keadaan terkejut. Apabila kami tiba, haiwan itu sudah mati,” kata jurucakap bomba, Valerian Fuet.

    Menurutnya, harimau itu ditembak mati di lorong belakang bangunan yang tiada orang lalu-lalang bukannya di jalan raya.

    Polis memberitahu, pemilik harimau berkenaan ditangkap selepas kejadian berkenaan.

    Menurut polis, pihak berkuasa masih menyiasat bagaimana haiwan berkenaan boleh terlepas dan merayau di bandar itu. – AFP/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Gempar Harimau Terlepas Di Paris "