• Gempa bumi sederhana gegar Halmahera, Indonesia

    Published: Sunday, 19 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi sederhana berlaku pada jam 2.36 pagi tadi di Halmahera, Indonesia iaitu 1,121 kilometer dari tenggara Semporna, Sabah.

    Berdasarkan lokasi dan magnitud berskala 5.4 skala richter itu, gempa bumi berkenaan dijangka tidak menghasilkan tsunami yang memberi kesan kepada pantai Malaysia.

    Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataannya berkata, itu adalah maklumat akhir dikeluarkan oleh jabatan berkaitan kejadian gempa bumi berkenaan melainkan jika terdapat perkembangan lanjut atau maklumat tambahan.



    Sementara itu, angin kencang Timur Laut berkelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Labuan dan Sabah iaitu di Kudat, Sandakan dan Pantai Barat.

    Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.

    MET Malaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir di perairan Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat dan Sarawak (Rejang, Mukah, Bintulu dan Miri). Keadaan ini dijangka berterusan sehingga pagi, Ahad.

    Keadaan ini boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5m dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

    Amaran ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang turut dikeluarkan di negeri Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Gombak), Pahang ( Raub, Bentong dan Temerloh).

    Sementara itu di Sabah ia membabitkan di bahagian pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort, Sipitang, Tenom, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat, Labuan dan Sarawak iaitu di Limbang, Miri, Kapit dan Bintulu . Keadaan ini dijangka seawal pagi ini.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Gempa bumi sederhana gegar Halmahera, Indonesia "