• Gamat PM Singgah Sarapan Di Gerai Ikan Meletop

    Published: Wednesday, 1 November 2017
    A- A+

    ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan lawatan kerja sehari ke Kedah hari ini dengan santai sambil sarapan bersama penduduk Kampung Seberang Kota Kuala Kedah.

    Ini termasuk singgah bersarapan padi di gerai makan terkenal dalam kalangan penduduk tempatan sendiri, Gulai Ikan Meletop sehingga suasana agak gamat apabila ramai pengunjung teruja melihat kehadiran beliau.

    Najib tiba di Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah dekat sini kira-kira pukul 9.20 pagi diringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan disambut ratusan penduduk kawasan ini.

    Sebelum datang bersarapan, Najib turut singgah di gerai Apom Lenggang Sempoi sebelum melahirkan rasa teruja apabila dapat melihat sendiri penghasilan kuih tradisional tersebut.

    Beliau kemudian menikmati juadah sarapan pagi yang sinonim dengan penduduk setempat seperti gulai ikan temenung, ikan temenung goreng, bawal goreng, pulut manis dan ulam.

    Najib dalam rangka lawatannya kerjanya ke Kedah yang padat dengan jadual program akan melawat ke tiga kawasan Parlimen ini iaitu Kuala Kedah, Alor Setar dan Pokok Sena.

    Berdasarkan jadual, beliau akan memulakan lawatan dengan program tinjauan mesra di sekitar Kampung Seberang Kota di Kuala Kedah, untuk meluangkan masa bertemu golongan nelayan, pesawah dan petani.

    Dua lokasi disinggahi di Kuala Kedah ialah Gerai Termenung Meletop yang terkenal dengan menu ikan kembung goreng panas serta pasar nelayan Kampung Seberang Kota, yang menjadi antara nadi penggerak ekonomi warga tani di kawasan Parlimen ini.

    Perdana Menteri kemudian bakal ke Stadium Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti untuk menghadiri perjumpaan rasmi bersama golongan penjawat awam Kedah.

    Petang Rabu, beliau akan meluangkan masa meninjau Loji Rawatan Air (LRA) milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Pokok Sena yang dibangunkan Kerajaan Persekutuan dengan kos RM68 juta.

    LRA Pokok Sena di mukim Jabi dianggap pemangkin utama dalam usaha kerajaan menyelesaikan masalah bekalan air kepada 63,000 penduduk di sekitar Pokok Sena, utara Pendang dan selatan Padang Terap, terutamanya di kawasan yang mempunyai tekanan rendah.

    Dengan kapasiti menampung bekalan 30 juta liter sehari, penduduk tidak perlu lagi bergantung kepada LRA Bukit Pinang, yang turut menyalurkan bekalan kepada penduduk sekitar Alor Setar.

    Najib dijadual menyampaikan bantuan musim tengkujuh kepada golongan pekebun kecil yang terjejas, selain sumbangan Bantuan Rakyat Kedah (BARAKAH) melalui Program Bersama Rakyat di Dataran KEDA.

    Malam ini, beliau yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan mengadakan perjumpaan tertutup bersama Badan Perhubungan UMNO dan BN Kedah di Hotel Grand Alora, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

    Lawatan penuh Najib ini boleh dikuti secara live di Facebook dan Twitter miliknya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Gamat PM Singgah Sarapan Di Gerai Ikan Meletop "