• Gaji Kecil Bukan Punca Polis Terlibat Rasuah - TPM Zahid

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Desakan peribadi yang ingin hidup mewah dan berbelanja di luar kemampuan seperti membeli kereta, pakaian dan perabot rumah yang berjenama dan mahal menyumbang kepada penglibatan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam gejala rasuah.

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekaligus menafikan gaji kecil polis menjadi pendorong utama kepada penglibatan gejala tidak berintegriti tersebut.

    Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, berdasarkan statistik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penglibatan anggota PDRM dalam gejala rasuah bagi tahun 2016 hanya 187 kes, atau 0.15%, daripada keseluruhan anggota.

    "Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedar dan prihatin tentang peningkatan kos sara hidup masa kini yang membebankan penjawat awam, termasuk anggota PDRM.

    "Pengurusan PDRM telah mengemukakan pelbagai cadangan untuk meringankan perbelanjaan harian anggota PDRM, antaranya kenaikan kadar elaun yang diterima ketika ini atau memperkenalkan elaun baharu untuk pertimbangan pihak berwajib.

    "PDRM juga telah mencadangkan 13 jenis elaun untuk diselaraskan semula kepada kerajaan sesuai dengan beban tugas kini," kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan kajian semula skim gaji dan kebajikan anggota PDRM sebagai usaha membendung gejala rasuah dan salah guna kuasa serta kewujudan elaun baharu kepada anggota PDRM yang menampung kerja yang terlalu banyak, risiko pekerjaan dan kadar tekanan yang tinggi.

    Tambahnya, KDN dan PDRM secara berterusan membuat perancangan untuk menyediakan kemudahan perumahan, keselesaan tempat bekerja dan menyemak semula elaun-elaun anggota PDRM sedia ada.

    Ia turut memperkenalkan elaun-elaun yang selaras dengan beban tugas yang semakin bertambah, malah tidak lagi kompetitif, dengan suasana kehidupan kini.

    Jelasnya, kementerian juga menyedari komitmen kerajaan membangunkan negara serta rakyat miskin dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu pada ketika ini. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Gaji Kecil Bukan Punca Polis Terlibat Rasuah - TPM Zahid "