• Forest City Tak Gadai Tanah Johor: Sultan Ibrahim

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar membidas pihak yang mengkritik projek Forest City konon ia menggadaikan tanah Johor.

    Sebaliknya, baginda bertitah, projek Forest City sebenarnya menyebabkan Johor bertambah besar dan menambah pelbagai pembangunan termasuk menerusi pendapatan hasil dan nilai tanah yang semakin meningkat.

    Baginda bertitah, Johor juga mempunyai lokasi zon antarabangsa untuk pembeli dari luar, selain pada masa sama mengekalkan hak milik dan rizab tanah Melayu.

    Negeri Johor bertambah besar

    "Bila masa Johor gadai tanah? Gadai apa maknanya? Dengan adanya Forest City, maka negeri Johor bertambah besar. Bukan ambil tanah pergi gadai.

    "Di Johor juga ada lot antarabangsa, ada rizab Melayu. Sesiapa boleh beli kalau nak lot antarabangsa, baik Mat Salleh dari England, orang India, Jepun, China, semua berhak. Dia boleh beli tetapi bukan bermakna dia beli tanah itu dia bawa balik negeri masing-masing.

    "Tanah di negeri Johor ini ada zon, iaitu zon antarabangsa yang bermakna orang luar boleh beli. Status dia antarabangsa. Di Forest City, kita tak jual tanah, kita jual strata dan strata itu hak milik kekal tanah negeri Johor," titah baginda.

    Kerajaan miliki saham pelaburan

    Sultan Ibrahim berkata, Forest City bukan sahaja mempunyai pelabur dari China, sebaliknya 40 peratus pelabur adalah tempatan, malah kerajaan juga mempunyai saham.

    Baginda bertitah bahawa projek itu memberi banyak pendapatan kepada kerajaan negeri termasuk cukai pintu dan tanah, selain peluang pekerjaan, sistem pengangkutan dan perniagaan.

    "Berapa banyak revenue (pendapatan) kerajaan Johor dapat? Akhirnya bila Forest City siap, assesment (penilaian), cukai pintu, cukai tanah, siapa dapat? Pekerjaan siapa dapat? Pengangkutan, peniaga, peluang pekerjaan. Janganlah cetek akal," titah baginda.

    Nilai hartanah meningkat, Pontian pesat membangun

    Selain itu, titah baginda, projek Forest City menyebabkan harga tanah di kawasan itu meningkat berbanding sebelum ini termasuk di daerah Pontian yang kini menjadi antara daerah yang akan pesat membangun.

    "Harga tanah kat situ (berhampiran Forest City) semua meningkat. Dulu orang Pontian petik duku saja, sekarang orang Pontian sudah ada yang bawa Mercedes Benz. Maknanya, Pontian adalah satu daerah yang akan maju, pesat.

    "Dahulu tanah di kawasan itu satu ekar (0.4 hektar) berharga RM100,000, sekarang ia bernilai sehingga RM3 juta," titah baginda. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Forest City Tak Gadai Tanah Johor: Sultan Ibrahim "