• Firma China Kumpulan Pelabur Terbesar Di Sarawak

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+


    KUCHING – Kerajaan negeri mengesahkan firma-firma dari China bakal membentuk kumpulan terbesar akan melabur di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score) pada tahun hadapan.

    Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (Recoda), Tan Sri Wilson Baya Dandot berkata, firma-firma China merupakan entiti yang telah mengesahkan pelan untuk melabur di negeri itu.

    Sehingga Disember 2016 ujar beliau, Score telah menerima pelaburan lebih daripada RM104 bilion daripada sektor awam dan swasta.

    Bagi Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di Bintulu sahaja kata beliau, firma dari Afrika Selatan dan Jepun selain syarikat tempatan, terutama di dalam industri berasaskan tenaga di SIP bernilai RM33.64 bilion.

    Firma-firma itu ujarnya, terdiri daripada OCI Malaysia yang memproses silikon polikristalin, Press Metal (jongkong dan bilet aluminium), OM Materials (mangan), Pertama dan Sakura (ferroaloi).

    ``Kami telah mengadakan rundingan dengan pihak-pihak berminat untuk melabur di Sarawak, dan kelebihan kami yang menjadi dorongan utama ialah kepantasan melaksanakan sesuatu projek, keupayaan menyediakan apa sahaja saiz atau skala operasi yang dimahukan,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel sesi `Peluang Pelaburan di dalam Score’ pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) Ke-13 di sini hari ini.

    Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Timbalan CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk N. Rajendran dan Pengarah Urusan Institut Pasaran Modal Asia (ACMI), Brian W. Tang. - UTUSAN ONLINE
  • No Comment to " Firma China Kumpulan Pelabur Terbesar Di Sarawak "