• FIFA Gantung Seumur Hidup 3 Bekas Pegawai Eksekutif

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+

    GENEVA: Jawatankuasa Etika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman gantung seumur hidup ke atas tiga bekas eksekutif badan induk itu yang mengaku bersalah membabitkan tuduhan rasuah di mahkamah di Amerika Syarikat (AS).

    Berikutan itu, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Venezuela, Rafael Esquivel dan rakan sejawatnya dari Nicaragua, Julio Rocha serta bekas Pegawai Pembangunan FIFA, Richard Lai yang pernah berkhidmat di bahagian audit badan induk itu dilarang membabitkan diri dalam semua aktiviti bola sepak.

    "Badan penilai mendapati Lai, Rocha dan Esquivel bersalah melanggar artikel 21 (rasuah dan korupsi) Kod Etika FIFA," menurut kenyataan FIFA.

    "Pegawai berkenaan dilarang terbabit dalam semua aktiviti bola sepak, di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,".

    Ketiga-tiga individu berkenaan antara 42 pegawai dan eksekutif pemasaran yang didakwa oleh Jabatan Keadilan AS membabitkan rasuah.

    Esquivel yang berkhidmat sebagai naib presiden badan induk bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mengaku bersalah menipu, membabitkan kesalahan dilakukannya November tahun lalu.

    Beliau mengaku bersalah menerima ganjaran membabitkan penganugerahan hak pemasaran dan media bola sepak.

    Rocha turut mengaku melakukan kesalahan sama pada Disember 2016.

    Lai yang turut mengetuai persatuan bola sepak Guam mengaku melakukan pelbagai kesalahan membabitkan rasuah termasuk 'menjual' undi menjelang pemilihan FIFA. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " FIFA Gantung Seumur Hidup 3 Bekas Pegawai Eksekutif "