• Fail rahsia pembunuhan Kennedy didedahkan

    Published: Saturday, 4 November 2017
    A- A+

    WASHINGTON: Arkib Nasional mengeluarkan beberapa fail baharu dengan sebahagian besarnya adalah rekod rahsia Agensi Perisikan Pusat (CIA) berkaitan pembunuhan Presiden Amerika Syarikat (AS), John F Kennedy, pada November 1963.

    Hampir 680 rekod dipapar kepada umum termasuk 553 fail CIA yang tidak pernah disiarkan dan dibantah pendedahannya oleh agensi itu atas dasar keselamatan.

    Antara contoh fail CIA yang dikeluarkan ialah rekod terperinci usaha mempengaruhi diplomat Soviet yang berkhidmat di luar negara, lengkap dengan transkrip intipan.

    Arkib Nasional berkata, dokumen lain disiarkan dalam talian adalah daripada Jabatan Keadilan, Jabatan Pertahanan dan jawatankuasa yang mengendalikan siasatan mengenai pembunuhan Kennedy pada 22 November, 1963 di Dallas, Texas.


    Suruhanjaya Warren yang menyiasat pembunuhan presiden berusia 46 tahun itu bertegas ia dilakukan oleh bekas penembak tepat Kor Marin, Lee Harvey Oswald, yang bertindak sendirian.

    Bagaimanapun, rumusan rasmi Suruhanjaya berkenaan mendapati, fakta Oswald membunuh Kennedy tidak menepis spekulasi pelbagai plot di sebalik pembunuhan Presiden AS ke-35 itu.

    Ratusan buku dan filem seperti 'JFK' arahan Oliver Stone pada 1991 memenuhi ruang industri dengan konspirasi, menuding jari ke arah pesaing Perang Dingin iaitu sama ada Soviet Union atau Cuba, Mafia dan tidak ketinggalan Naib Presiden era Kennedy, Lyndon Johnson.

    Mereka yang mengkaji pembunuhan Kennedy berkata, dokumen baharu itu tidak mungkin mengandungi pendedahan mengejutkan atau mengakhiri pelbagai teori konspirasi.

    Dokumen yang dikeluarkan Arkib Nasional itu adalah yang siri ketiga tahun ini dan mematuhi Akta Kongres 1992 yang mewajibkan semua butiran berkaitan Kennedy disiarkan dalam tempoh 25 tahun.

    Presiden Donald Trump memberi Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tempoh enam bulan sehingga 26 April 2018 untuk menyatakan mengapa baki dokumen berkenaan tidak boleh didedahkan kepad awam.

    Arkib Nasional mendedahkan 2,891 dokumen berkaitan pembunuhan Kennedy pada 26 Oktober dan 3,810 rekod pada 24 Julai.

    Oswald berpaling tadah ke Soviet Union pada 1959 sebelum kembali ke AS pada 1962.

    Beliau ditembak mati oleh pemilik kelab malam, Jack Ruby, ketika dalam perjalanan dipindahkan dari penjara bandar raya dua hari selepas membunuh Kennedy. - AFP


    Subjects:

  • No Comment to " Fail rahsia pembunuhan Kennedy didedahkan "