• Evra Sepak 'Karate' Kepala Penyokong

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    Pemain pertahanan Marseille, Patrice Evra dibuang padang kerana menyepak kepala penyokong pasukan sendiri dengan gaya ‘karate’ sebelum sepak mula perlawanan Liga Europa (UEL) menentang Vitoria Guimaraes, hari ini.

    Evra, 36, bertekak dengan sekumpulan 500 penyokong Marseille, awal pagi tadi di kawasan tepi padang sebelum pemain antarabangsa Perancis itu tiba tiba mengangkat kaki kiri menyepak kepala seorang penyokong.

    Beberapa penyokong Marseille melepasi pagar halangan tempat duduk menyelinap berada di tepi padang sambil berteriak pada jarak dekat ketika Evra sedang memanaskan badan sebelum sepak mula.

    Pengawal keselamatan meleraikan kekecohan itu.

    Evra yang pada asalnya disenaraikan pemain simpanan diarahkan kembali ke bilik persalinan oleh pengadil.

    “Pat seorang pemain berpengalaman dan tidak perlu memberi sebarang reaksi, ia terlalu ketara,” kata jurulatih Marseille, Rudi Garcia.

    Kelab Perancis itu tewas 1-0 pada perlawanan itu menerusi jaringan Hurtado m-80 malah salah seorang pemain Marseille iaitu Boubacar Kamara turut dibuang padang ketika perlawanan berbaki tiga minit.

    “Patrice tidak boleh bertindak kerana kerana ia akan memburukkan keadaan apatah lagi ia datangnya daripada penyokong kami sendiri.”

    “Dia mesti belajar bersikap tenang. Itu saja saya boleh perkatakan.”

    Garcia turut menyalahkan penyokong menyakitkan hati Evra yang mempunyai 81 kap antarabangsa bersama Perancis di stadium Portugis itu.

    “Dia sudah tentu bukan penyokong Marseille kerana peminat setia tidak mencerca pemain kelab mereka dan penyokong sentiasa berada di belakang pasukan.”

    Insiden itu mengembalikan memori kegilaan sepakan kung fu oleh pemain bola sepak Perancis.

    Pada Januari 1995, Eric Cantona, beraksi bersama Manchester United melakukan sepakan terbang terhadap penyokong Crystal Palace di Selhurst Park yang menjerit gembira selepas dia dibuang padang.

    Tindakan Cantona menyebabkan dia digantung selama sembilan bulan oleh FA England.

    Menurut statistik Opta: “Patrice Evra adalah pemain pertama dibuang padang sebelum sepak mula dalam sejarah Liga Europa.”

    UEL adalah kejohanan tahap kedua menggantikan Piala UEFA musim 2009-2010.

    Evra bekas bintang Manchester United dihentam teruk kerana prestasi tidak menentu dan hilang tempat kepada pemain pertahanan kiri dipinjamkan dari Aston Villa, Jordan Amavi.-AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Evra Sepak 'Karate' Kepala Penyokong "