• Etnik Uighur ditahan di Bukit Kayu Hitam

    Published: Wednesday, 22 November 2017
    A- A+


    ALOR SETAR: Seorang tahanan etnik Uirghur yang lolos dari pusat tahanan imigresen di Sadao, Thailand ditahan di Bukit Kayu Hitam, petang semalam.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata lelaki itu ditemui orang awam berhampiran pos kawalan tentera di kawasan Bukit Tangga, dekat sini, kira-kira jam 4 petang sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa.

    "Suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

    "Berdasarkan maklumat, suspek dipercayai berjalan kaki seorang diri kira-kira lapan kilometer dari Sadao dan tidak mempunyai sebarang dokumen. Kes ini adalah di bawah bidang kuasa pihak Imigresen," katanya.

    Awal pagi Isnin lalu, 20 tahanan etnik Uighur dilapor meloloskan diri daripada sebuah pusat tahanan Imigresen di Sadao selepas memecahkan dinding bilik tahanan.

    Semua tahanan itu dalam proses penghantaran semula ke negara asal selepas ditahan pihak berkuasa Thailand pada 2014.

    Bagaimanapun, pihak berkuasa Thailand mengesahkan lima daripada tahanan itu sudah ditahan semula, manakala baki 15 lagi masih bebas dan disyaki cuba memasuki Malaysia.

    Dalam pada itu, Asri berkata pihaknya meningkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand untuk membantu mengesan 15 tahanan yang masih lolos itu.

    "Sistem kawalan lebih berkesan di sempadan tidak seperti dulu kerana kita mengetatkan enam kawalan pemeriksaan polis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan.

    "Setakat ini kami sudah mengedar poster memaparkan gambar semua tahanan terbabit di sempadan untuk membantu mengesan mereka.

    "Hubungan kita sangat rapat dengan polis Thailand, jadi kita akan memberi kerjasama sepenuhnya untuk mengesan mereka," katanya.

    Terdahulu beliau menghadiri Program My Indah 19 Bersama 201 pengetua sekolah menengah di negeri ini di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini.

    Subjects:

  • No Comment to " Etnik Uighur ditahan di Bukit Kayu Hitam "