• Estonia Penanda Aras Pembangunan Digital Sarawak

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+

    PETRA JAYA: Kecanggihan penggunaan teknologi maklumat dilaksanakan sebuah negara kecil Eropah, Estonia, bakal dijadikan penanda aras bagi kerajaan negeri membangunkan dasar ekonomi digital Sarawak.

    Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata walaupun Estonia mempunyai 1.3 juta penduduk, namun negara itu adalah peneraju utama dalam pembangunan digital dunia.

    "Penembusan jalur lebar tinggi ke seluruh pelusuk negaranya adalah kunci utama kejayaan mereka sehingga diiktiraf sebagai negara model digital.

    "Tidak cukup dengan penembusan jalur lebar, Estonia menyediakan kepantasan hubungan internet yang mapan.

    "Justeru, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan kerajaan negeri bermula tahun depan membabitkan enam domain pembangunan digital sebagai inisiatif agenda ekonomi digital Sarawak," katanya selepas membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2018) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini sebentar tadi.

    Estonia mempunyai jaringan internet 100 peratus di semua agensi kerajaan dan sekolah; 99 peratus transaksi perbankan menggunakan internet; 99 peratus perskripsi perubatan dilakukan secara elektronik dan 98 peratus rakyat Estonia mempunyai kad pengenalan digital.

    Abang Johari yang juga Menteri Kewangan dan Pembangunan Ekonomi, ketika mengulas lanjut, berkata enam domain berkenaan adalah membabitkan prasarana digital; kerajaan digital; pembangunan bakat digital; pembangunan dan kajian; bandar pintar dan usahawan digital.

    "Dana RM1 bilion itu antaranya akan dibelanjakan bagi mewujudkan 'tulang belakang' fiber optik dari Kuching ke Miri melalui Brunei bagi tingkatkan kelajuan internet; bekerjasama dengan Telco membina 150 menara telekomunikasi dan memperluas prestasi 4G," katanya.

    Beliau berkata, kerajaan negeri juga mahu menubuhkan Pihak Berkuasa Multimedia Sarawak (SMA) bagi tujuan kawal selia pembangunan ekonomi digital.

    "Selain itu, kerajaan negeri akan menubuhkan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak yang menyelaras inisiatif digital dan bertanggungjawab memastikan keselamatan siber di negeri ini," katanya. - BH
  • No Comment to " Estonia Penanda Aras Pembangunan Digital Sarawak "