• ESSCom Berjaya Pastikan Keselamatan Di ESSZone Terkawal, Selamat

    Published: Monday, 20 November 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU – Kesiapsiagaan dan langkah-langkah yang dilaksanakan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berjaya memastikan keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) sentiasa terkawal dan selamat.

    Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata keberkesanan langkah keselamatan berkenaan terbukti apabila tidak wujud kes penculikan sejak awal 2017.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Abd Muis Picho (BN-Sebatik), Datuk Samsudin Yahya (BN-Sekong) dan Datuk Limus Jury (BN-Kuala Penyu) pada sidang Dewan Undangan Negeri, di sini hari ini.

    Katanya antara langkah dilaksanakan ESScom yang dianggotai Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ialah rondaan intensif dan berkoordinasi dengan pasukan keselamatan Filipina dan Indonesia menerusi Perjanjian Kerjasama Tiga Pihak (TCA), meliputi laut dan udara.

    Beliau berkata pemantauan dan pemeriksaan turut dilakukan di kawasan disyaki tempat pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) di ESSZone menerusi Operasi Bersepadu serta meningkatkan kawalan pemeriksaan di lapangan terbang dan pelabuhan terlibat.

    “Di samping itu, ESSCom akan melaksanakan ‘Sea Check Point’ (SCP) di kawasan perairan untuk mengimbangi dan meningkatkan kawalan keselamatan secara menyeluruh serta memastikan kelancaran kegiatan perdagangan sosioekonomi yang sah dengan mematuhi peraturan dan undang-undang,” katanya.

    Musa berkata fokus utama SCP adalah untuk menyekat kemasukan senjata api dan lain-lain elemen jenayah rentas sempadan yang mengancam keselamatan di negeri Sabah, khususnya di kawasan ESSZone manakala laluan yang ditetapkan di kawasan laut kini pada peringkat pengkelasan untuk dihantar ke Pejabat Peguam Negara bagi tujuan pewartaan.

    “Selain itu, ESSCom juga sedang merancang melaksanakan ‘road check point’ (RCP) di daratan bertujuan untuk menghalang kemasukan sebarang elemen yang berupaya mengancam dan mengganggu gugat keselamatan di ESSZone, juga berperanan dalam mengesan dan menangkap PATI yang terlibat dengan elemen militan,” katanya.

    Antara langkah keselamatan yang diambil kerajaan ialah aktiviti Rondaan Maritim Tiga Pihak antara KD Sri Gaya dan kapal Tentera Laut Filipina BRP CEBU serta Rondaan Laut Tiga Pihak melibatkan pasukan keselamatan Malaysia, Indonesia dan Filipina.

    Sementara itu, Musa berkata Perintah Berkurung yang berkuatkuasa di ESSZone sejak 19 Julai 2014 berjaya mengawal pengaruh anasir jahat dari luar seterusnya meningkatkan kawalan keselamatan di pantai timur Sabah. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " ESSCom Berjaya Pastikan Keselamatan Di ESSZone Terkawal, Selamat "