• Enot teringin berlakon dengan Zul Ariffin

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Selepas hampir lima tahun tidak menerima tawaran berlakon secara konsisten, Enot rindu kembali ke set penggambaran tetapi mengidam watak berbeza seperti wanita psiko.

    Biarpun pasrah menanti tawaran, Enot atau nama sebenarnya, Alliza Abdullah, 39, berharap tahun baharu 2018 dapat memberi sinar buat kerjaya seninya.

    "Saya bukan mahu meminta simpati tapi saya memang rindu hendak berlakon. Mana tahu dapat jadi heroin berganding dengan Zul Ariffin selepas ini?" katanya berseloroh.

    Memberitahu BH Online, kalau boleh, dia teringin melakonkan watak berbeza, bukan lagi karakter komedi.

    "Selama 16 tahun saya berkecimpung dalam arena seni, saya asyik ditawarkan watak komedi.

    "Dalam hati, saya nak cuba watak lebih serius atau psiko. Saya mahu cabar diri ke tahap yang berbeza.

    "Namun, kalau masih ada kepercayaan untuk saya memegang watak komedi, takkan pula ditolak rezeki," katanya yang sudah sembuh sepenuhnya daripada penyakit barah usus tahap kedua yang menjadi punca dirinya lama menyepi.

    Kali terakhir ibu tunggal kepada Andriana Balqis, 16, dan Ariana Qaseh Qistina, 10, ini berlakon adalah dalam drama Bibik Bibikku yang disiarkan TV3, Jun tahun lalu.

    Drama arahan Khalid Nadzri itu turut dibintangi Ungku Ismail, Fasha Sandha, Julia Ziegler, Bienda, Amyza Aznan dan Dottie.

    Terbaharu, Enot berkongsi kejayaannya mengurangkan berat badan yang dilihat sebagai isyarat untuk dirinya kembali aktif.

    Kongsi Enot, sejak enam bulan lalu dia menggunakan produk pelansingan badan jenama Lemonex sebaik dilantik sebagai duta.

    "Sepanjang tiada tawaran berlakon, alhamdulillah rezeki saya murah dengan menjual produk itu. Berat badan saya susur daripada 129 kilogram kepada 95 kilogram.

    "Pada masa sama, saya menjaga pemakanan. Selepas jam 7 malam, saya elak makanan berat. Saya juga ada membuat bisnes kecil-kecilan sebagai perancang majlis sambutan hari jadi dan menjual sambal bilis petai hijau," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Enot teringin berlakon dengan Zul Ariffin "