• Enam Sungai Di Tiga Negeri Lepasi Tahap Amaran

    Published: Tuesday, 7 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Paras air enam sungai di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka melepasi tahap jingga atau amaran, pagi ini.

    Menerusi laman sesawang Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air Sungai Juru, Pulau Pinang; Sungai Buloh dan Sungai Klang, Selangor; Sungai Serting, Negeri Sembilan serta Sungai Malim dan Sungai Duyong, Melaka, melebihi tahap amaran antara 0.10 meter hingga 0.32 meter.

    Paras air dicatatkan di Sungai Juru pada jam 8.45 pagi adalah 1.15 meter, melebihi tahap amaran 1.05 meter.

    Sungai Klang pula mencatatkan paras air pada 2.82 meter pada jam 7.30 pagi (tahap amaran 2.58 meter), manakala Sungai Buloh pula 7.12 meter pada jam 7.45 pagi, (tahap amaran 6.80 meter).

    Paras air Sungai Serting pula mencatatkan bacaan 73.51 meter (tahap amaran 73.30 meter), Sungai Malim pula 1.82 meter (tahap amaran 1.58 meter) dan Sungai Duyong 1.63 meter (tahap amaran 1.38 meter), masing-masing antara jam 9 pagi hingga 9.15 pagi.

    Sementara itu, ribut petir, hujan lebat berserta angin kencang di beberapa daerah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, dijangka berterusan sehingga awal pagi ini.

    Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada jam 2 pagi tadi, kawasan terbabit adalah daerah Kuala Selangor, Petaling, Klang, Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat bagi Selangor; Tampin, Kuala Pilah, Rembau, Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan serta Segamat, Tangkak , Muar dan Batu Pahat di Johor.

    Ketika ini, beberapa negeri, antaranya Pulau Pinang dan Kedah dilanda banjir besar susulan hujan lebat dan ribut berterusan sejak beberapa hari lalu. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Enam Sungai Di Tiga Negeri Lepasi Tahap Amaran "