• Empat anggota polis dipenjara tiga tahun

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+


    KUANTAN: Empat anggota polis masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan denda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana didapati bersalah menerima dan meminta rasuah bernilai RM8,000 pada tahun 2014.

    Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof dalam penghakimannya mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

    Empat anggota polis berkenaan ialah Koperal Mazlan Mohd Noh, 36; Konstabel Mohd Firdaus Abdullah, 26; Koperal Mohd Juhairy Jamaludin, 33, dan Lans Koperal Mohd Azimie Majid, 31, daripada Balai Polis Muadzam Shah, Rompin.

    Bagi pertuduhan pertama, semua tertuduh didapati bersalah menerima rasuah RM7,000 daripada Abdul Wahab Makhtar sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anaknya, Mohd Syafiq yang tidak mempunyai permit dan lesen membawa kayu getah.

    Dalam pertuduhan kedua pula, mereka didapati bersalah meminta wang suapan RM1,000 daripada Abdul Wahab bagi tujuan sama.

    Kedua-dua kesalahan berkenaan dilakukan di Kedai Makan Sri Muadzam Ikan Bakar, Rompin pada jam antara 2 hingga 4 pagi, 18 Disember 2014.

    Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

    Habibah menjatuhkan hukuman denda RM35,000 dan penjara dua tahun bagi pertuduhan pertama dan tambahan dipenjara 18 bulan jika gagal membayar denda itu.

    Bagi pertuduhan kedua pula, Habibah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara satu tahun dan tambahan penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

    Habibah bagaimanapun membenarkan permohonan Peguam tertuduh, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar supaya mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan atas alasan wujud isu undang-undang serius perlu dibangkitkan dalam rayuan di Mahkamah Tinggi.

    Pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry membantah permohonan itu kerana tertuduh tidak mempunyai keadaan istimewa untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman berkenaan.

    Habibah turut menetapkan ikat jamin RM7,000 terhadap semua tertuduh, lebih RM2,000 daripada ditetapkan mahkamah sebelum ini iaitu RM5,000.

    Subjects:

  • No Comment to " Empat anggota polis dipenjara tiga tahun "