• Empangan Baram, Impian Yang Hilang

    Published: Thursday, 30 November 2017
    A- A+

    Dalam kegembiraan segelintir pihak meraikan kejayaan mendesak pembatalan projek pembinaan Empangan Baram, terdapat sesetengah masyarakat di kawasan Ulu Baram sememangnya menunggu projek itu dengan harapan menggunung tinggi.

    Sekian lama, ketika syarikat balak mengusahakan kawasan Ulu Baram, ribuan peluang pekerjaan telah dinikmati dan membantu penduduk meningkatkan taraf kehidupan mereka. 

    Apabila mendengar rancangan kerajaan untuk melaksanakan projek Empangan Baram, golongan yang proaktif ini telah merancang pelbagai program supaya mereka dapat memanfaatkan segala peluang yang bakal disediakan nanti.

    Ada yang sudah merancang pembinaan inap desa. ada pula yang sudah berangan-angan untuk menternak ikan dalam sangkar dan ada juga yang sudah berkira-kira untuk menyediakan pengangkutan air bagi pengunjung yang datang.

    Mengambil contoh kemajuan di kawasan Empangan Batang Ai dan Empangan Bakun, penduduk di kawasan Ulu Baram sudah nampak segala potensi yang bakal datang bersama projek tersebut.

    Keadaan muka bumi di kawasan yang pernah digazetkan sebagai kawasan Empangan Baram hampir mustahil untuk dilakukan aktiviti pertanian. Kini, apa yang dapat diusahakan hanyalah menanam pokok kelapa sawit itupun, cuma dapat ditanam di tepi jalan balak yang sudah diratakan. 

    Keadaan muka bumi di kawasan yang dicadangkan tidak sesuai untuk sebarang aktiviti pertanian. Topografinya sangat curam bahkan mustahil untuk dimanfaatkan. 

    Bagi pengusaha balak pula, ada yang terpaksa mengangkut kayu balak keluar menggunakan helikopter kerana keadaan muka buminya yang mustahil untuk dihubungkan dengan jalan waima jalan balak sekalipun.

    Kemajuan datang bersama pelbagai projek pembangunan. Sekiranya projek tersebut tidak dibatalkan, sudah pasti, sekurang-kurangnya kawasan Ulu Baram berpeluang besar dihubungkan dengan jalan raya yang baik. 

    Sesudah itu, bekalan air, elektrik dan akses internet pasti akan menyusul. Sudah pasti kehidupan masyarakat di Ulu Baram akan berubah.

    Memang, pada asalnya bantahan pembinaan Empangan Baram adalah disebabkan penduduk terlalu menyayangi sungai tersebut tetapi sumber pendapatan akan menjadi lebih mudah dengan terbinanya empangan itu.

    Lihat sahaja penduduk di kawasan Empagan Bakun dan Batang Ai. Kini ada dikalangan mereka kini sudah menjadi pembekal tetap kepada pengusaha restoran di bandar Kuching, Sri Aman, Bintulu dan Miri.

    Tidak dinafikan, terdapat pelbagai masalah bekenaan tuntutan tanah, pemilikan tanah, pampasan dan penempatan semula namun, semua ini sudah pasti dapat diselesaikan dengan cara baik sekiranya ia dilakukan dengan cara yang betul.

    "Walaupun projek tersebut sudah dibatalkan, kami berharap agar pihak kerajaan negeri dapat memberi pertimbangan semula supaya generasi akan datang dapat menimati kehidupan yang lebih baik," kata seorang penduduk yang mengusahakan perkhidmatan pengangkutan di kawasan tersebut.-Sarawakiana




    Subjects:

  • No Comment to " Empangan Baram, Impian Yang Hilang "