• Elyana hidap kanser tahap empat

    Published: Monday, 27 November 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR - Penyanyi Elyana melakukan pendedahan bahawa dirinya menghidap penyakit kanser Limfoma tahap empat usai tersingkir daripada konsert minggu kelima Gegar Vaganza 4 (GV4) sebentar tadi.

    Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal berkata, dia sudah menderita penyakit tersebut sejak tujuh tahun lalu dah hanya orang terdekat yang mengetahui tentang hal itu.

    "Saya pasrah apabila doktor memberitahu saya mengalami kanser ini tujuh tahun lalu. Sudah berpuluh-puluh rawatan kemoterapi saya jalani dan macam-macam jenis ubat-ubatan yang ditelan.

    "Ubatnya sekarang saya hanya perlu sentiasa gembira dan tidak terlalu berfikir tentang penyakit ini. Buat masa sekarang, saya berhenti menjalani rawatan kemoterapi sejak Ramadan lalu demi peminat untuk GV4," ujar Elyana dalam keadaan tenang namun berlinang air mata ketika ditemui media sebentar tadi.

    Ditanya lanjut tentang penyakitnya itu, Elyana mengatakan apabila penyakit itu menyerang dia akan berasa lemah badan dan terutama pada waktu malam, jantungnya umpama terhenti.

    "Saya paling takut waktu malam kerana takut ingin tidur. Badan mudah menjadi lemah dan takut jantung terhenti kerana kanser sudah merebak ke jantung dan paru-paru.

    "Bagaimanapun, Allah masih panjangkan usia sehingga hari ini. Saya masuk GV4 pun kerana saya mahu sebelum 'pergi', saya mahu peminat tengok saya di pentas yang cantik dalam keadaan yang gembira," jelas Elyana. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Elyana hidap kanser tahap empat "