• Eksport September Melonjak

    Published: Friday, 3 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Eksport Malaysia kekal kukuh bagi tempoh 11 bulan berturut-turut, dengan September mencatat pertumbuhan dua angka 14.8 peratus kepada RM78.26 bilion, berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2017, eksport melonjak 21.3 peratus kepada RM690.25 bilion daripada tempoh sama tahun sebelumnya.

    "Bersandarkan kepada prestasi setakat ini, anggaran pertumbuhan untuk tempoh setahun sebanyak 16.6 peratus seperti dinyatakan dalam Laporan Ekonomi 2017/2018 dapat dicapai.

    "Ini akan menyokong unjuran pertumbuhan ekonomi antara 5.2 peratus dan 5.7 peratus bagi 2017," kata MITI dalam satu kenyataan hari ini.

    Eksport September disokong permintaan kukuh daripada pasaran utama, khususnya ASEAN, China, Hong Kong SAR, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan, Jepun, Australia, Mexico dan Turki.

    Pertumbuhan eksport September dipacu barang pembuatan yang berkembang 17.1 peratus atau RM9.58 bilion kepada RM65.62 bilion, menyumbang kepada 83.9 peratus jumlah eksport negara.

    Pertumbuhan turut disokong eksport lebih tinggi dalam produk elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat 17.7 peratus kepada RM30.87 bilion berbanding tahun lalu. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Eksport September Melonjak "