• Eksport Minyak Sawit Melebihi RM70 Bilion

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+
    KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Nilai eksport minyak sawit dijangkakan melebihi RM70 bilion tahun ini berbanding RM67 bilion yang direkodkan tahun kepas, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

    Beliau berkata nilai eksport yang lebih tinggi itu didorong oleh import dari negara Eropah, India, China, ASEAN dan pasara baharu seperti Iran.

    "Iran menawarkan potensi besar bagi pengeksport kerana tahun ini, import minyak sawit Malaysia telah meningkat. Inilah faktor kami berusaha keras untuk melihat pasaran baharu," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2017 di sini hari ini.

    Mah yakin industri minyak sawit akan lebih baik tahun ini berbanding tahun lepas memandangkan nilai eksportnya meningkat 22 peratus kepada RM51 bilion sehingga Ogos 2017.

    Mengenai harga minyak sawit, beliau berkata harganya berkemungkinan pada purata semasa antara RM2,600 dan RM2,700 satu tan tahun depan manakala pengeluaran dijangka meningkat kepada 19.5 juta tan pada 2017 berbanding 17.5 juta tan yang dicatatkan pada 2016.

    Mengulas mengenai kemungkinan larangan biodiesel berasaskan minyak kelapa sawit menjelang akhir 2020, Mah berkata ini merupakan kes jelas diskriminasi terhadap minyak sawit dan bertentangan dengan keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia, memandangkan minyak lain masih dibenarkan sehingga 2029.

    Beliau berkata undian baru-baru ini oleh jawatankuasa alam sekitar Parlimen Kesatuan Eropah (EU) yang menggesa larangan biodiesel berasaskan minyak sawit menjelang akhir 2020 merupakan antara sebahagian daripada percubaan tersusun dan disasarkan untuk menjejaskan industri minyak sawit.

    "Kami akan melaksanakan pelbagai perbincangan, dan saya yakin bahawa EU tidak akan melaksanakan dasar diskriminasi, dan mereka akan mendengar pandangan kami.

    "Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertemu Presiden Indonesia Joko Widodo minggu depan, dengan minyak sawit akan menjadi agenda utama perbincangan bagi melihat kaedah melindungi pasaran," katanya.

    Sementara itu, Mah berkata Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), menggantikan TPP tanpa Amerika Syarikat, akan membuka jalan bagi komoditi Malaysia untuk terus menembusi pasaran seperti Chile dan New Zealand.

    PIPOC 2017 yang bertemakan 'Menghargai Masa lepas, Merencanakan Masa Depan´ dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia. -- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Eksport Minyak Sawit Melebihi RM70 Bilion "