• Ekonomi hijau julung kali dibangkitkan pada WIEF

    Published: Thursday, 23 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerjasama antarabangsa dalam inisiatif pembangunan ekonomi hijau bakal dibentuk, khusus bagi meningkatkan kesedaran mengenai usaha pemuliharaan hutan dan konservasi hidupan liar di rantau ini.

    Pengerusi Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF), Tun Musa Hitam menyifatkan langkah Malaysia dan Indonesia bersama-sama meningkatkan usaha perlindungan spesies terancam adalah langkah penting ke arah pembangunan lestari bagi rantau ini.

    Beliau berkata, isu itu juga dibangkit dan dibincangkan kalangan lebih 3,000 perwakilan dari 77 negara yang menghadiri WIEF ke-13, yang menutup tirainya hari ini.

    "Buat pertama kalinya dalam sejarah 13 tahun penganjuran WIEF, ekonomi hijau dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika beliau merasmikan forum ini, Selasa lalu.

    "Beliau meminta kerjasama yang lebih erat antara Malaysia, Indonesia dan Brunei untuk mengekalkan kekayaan sumber semula jadi dan keindahan Borneo," katanya.

    Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penutupan forum selama tiga hari itu yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

    Musa berkata, perkara itu kemudiannya dibangkitkan lagi dalam Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-12 (ALC-12) Malaysia - Indonesia yang berlangsung di bandar raya ini, semalam.

    Sementara itu, Setiausaha Agung Yayasan WIEF, Tan Sri Mohd Fuzi Abdul Razak berkata, lima perkara penting untuk memperkasa ekonomi dalam era digital dicadangkan pada forum berkenaan.

    Beliau berkata, antara cadangan itu ialah meneruskan transformasi digital dalam meningkatkan produktiviti.

    "Ia termasuklah transformasi digital untuk meningkatkan kecekapan dalam sektor pertanian, pembuatan, perkhidmatan kewangan, pendidikan, pembangunan kemahiran, pembangunan infrastruktur dan penjagaan kesihatan," katanya.

    Mohd Fuzi berkata, turut dicadangkan usaha untuk mempromosikan pembangunan wakaf dan kewangan sosial sebagai komponen penting dalam industri kewangan Islam.

    "Kita juga menerima cadangan untuk memupuk pembangunan ekosistem halal meliputi makanan halal, kewangan Islam, pelancongan halal, farmasi dan kosmetik halal.

    "Selain itu, kita juga menerima cadangan untuk meningkatkan kolaborasi serantau antara kerajaan untuk mempromosikan ekonomi hijau, teknologi hijau dan pemuliharaan hidupan liar termasuk spesies yang menghadapi ancaman kepupusan," katanya.

    WIEF-13 yang berlangsung sejak Selasa lalu turut dihadiri Perdana Menteri Maghribi, Dr Saad Eddine El Othmani; Naib Presiden Kesatuan Comoros, Djaffar Ahmed Said Hassani dan Presiden Republik Tatarstan, Rustam Nurgaliyevich Minnikhanov.

    Seramai 3,249 peserta dari Malaysia, Indonesia, Filipina, Iran, Palestin, Maghribi, Kazakhstan , Australia dan Russia menghadiri forum berkenaan.-BHOnline
  • No Comment to " Ekonomi hijau julung kali dibangkitkan pada WIEF "