• Ejen Dalang Tipu Isytihar GST

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Ejen yang mengendalikan barangan yang keluar dan masuk ke negara ini, dikesan menjadi dalang membolehkan syarikat tempatan menggelapkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) daripada kerajaan.

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata perkara itu dikesan apabila pihaknya mendapati wujud perbezaan antara nilai diberikan kepada pelanggan berbanding nilai yang diisytiharkan dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

    Katanya, penipuan itu menyebabkan rakyat dan kerajaan kerugian sedangkan ejen serta syarikat yang menjalankan penipuan bagi mengelak dikenakan GST mengaut keuntungan.

    "Kita dapat kenal pasti penipuan ini hasil audit dijalankan Kastam. Apabila barang masuk, sepatutnya dikenakan GST. Tapi ada perbezaan nilai antara yang diberikan pada pelanggan dan Kastam (untuk elak dikenakan GST).

    "Jadi ada perbezaan dalam dua borang. Ini penipuan. Pelanggan rugi, kerajaan rugi tetapi ejen ini untung.

    "Kita sudah kenal pasti mereka yang terbabit daripada kira-kira 3,000 ejen yang mengendalikan barang kelur masuk dalam negara," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) yang mencelah perbahasan mengenai kelonggaran dalam undang-undang sehingga membolehkan segelintir syarikat menggelapkan GST, seperti dilaporkan BH baru-baru ini.

    BH sejak Sabtu lalu membongkar syarikat tempatan dikesan menggunakan taktik licik untuk menipu bagi mengelak dikenakan GST sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

    Semalam, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T Subromaniam, mendedahkan kerajaan kerugian lebih RM100 juta berikutan tuntutan palsu GST oleh syarikat terbabit dengan penipuan cukai itu sejak 2015.

    Johari berkata, semua ejen yang terbabit dalam pengendalian barangan yang keluar dan masuk ke negara ini sudah diberi amaran dan akan dikenakan tindakan tegas jika ditangkap melakukan penipuan berkenaan.

    "Tindakan pertama apabila ejen ini ditangkap adalah lesen mereka akan ditarik secara automatik. Kemudian mereka akan didakwa, dan terpulang pada mahkamah untuk kenakan hukuman penjara atau sebat," katanya.

    GST bermula pada 1 April 2015 pada kadar 6.0 peratus menggantikan SST di Malaysia dan diperkenalkan dengan 553 jenis barangan dan perkhidmatan berkadar sifar dan 25 lagi dikecualikan GST. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Ejen Dalang Tipu Isytihar GST "