• EcoWorld International Bangunkan 12 Tapak Di UK

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: EcoWorld International Bhd (EcoWorld International) memeterai Perjanjian Dasar Induk (HoA) dengan syarikat berpangkalan di United Kingdom (UK), Willmott Dixon, untuk membangunkan secara bersama 12 tapak di Greater London dan Tenggara England.

    Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EcoWorld International, berkata HoA membolehkan syarikat meraih bahagian pasaran tempatan yang besar susulan kedudukan projek berkenaan, keadaan dan harga yang berpatutan pembangunan yang dicadangkan itu.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Teow Leong Seng, berkata matlamat jangka panjang bagi EcoWorld International menjadi pemaju bertaraf global dengan bertapak kukuh dan mempunyai pelanggan yang ramai di UK sama seperti jenama EcoWorld.

    Selain mengambil alih kepentingan sebanyak 70 peratus di tapak projek itu, katanya, syarikat itu akan turut memperoleh kepentingan sebanyak 70 peratus dalam cabang pengurusan pembangunan Wilmott Dixon, dengan pasukan pelbagai disiplin yang terdiri daripada kakitangan yang berpengalaman.

    EcoWorld International berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka dimuktamadkan pada Disember 2017, tertakluk kepada persetujuan mengenai terma akhir.

    "Pengambilalihan itu mempunyai potensi untuk meningkatkan operasi kumpulan itu di UK sebanyak empat kali ganda, berdasarkan akses kepada simpanan tanah yang besar kira-kira 6,700 unit kediaman dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya STG2.5 bilion (STG1>RM5.56)," katanya.

    Katanya terdapat juga perjanjian rangka kerja bagi pembangunan 1,500 unit lagi.

    "Ini akan menambah kira-kira 8,200 unit kepada simpanan tanah Prime Central London semasa kumpulan itu sebanyak kira-kira 2,500 unit kediaman, yang dibangunkan di bawah usaha sama EcoWorld-Ballymore yang sedia ada," katanya.

    Pembiayaan bagi cadangan pengambilalihan itu dijangka daripada gabungan hasil tawaran awam permulaan EcoWorld International baru-baru ini dan pinjaman bank/instrumen hutang yang lain, katanya. - BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " EcoWorld International Bangunkan 12 Tapak Di UK "