• Duri Landak Buat Tikam Isteri

    Published: Friday, 24 November 2017
    A- A+

    Lelaki yang dipercayai menikam belakang badan isteri dengan duri landak antara 27 individu dikehendaki polis di daerah Jelebu.

    Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, Jemiun Antoni, 25, yang berasal dari Nabawan, Sabah dikehendaki bagi menyelesaikan kes yang berlaku pada Februari 2015.

    "Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai menikam isteri berusia 22 tahun kerana tidak puas hati isterinya mahu merujuk masalah rumah tangga dihadapi mereka ke Pejabat Agama Islam Daerah Jelebu.

    "Perbuatan itu dilakukan dalam pergaduhan di Sungai Muntoh, Titi, Jelebu ketika mangsa dalam perjalanan ke pejabat agama berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jelebu, hari ini.

    Menurutnya, polis giat mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

    Selain itu, Kamarul Rizal berkata, pihaknya cuba mengesan dua individu bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    Suspek dikenali sebagai Syamsul Amin Razali, 34, beralamat terakhir di FELCRA Lakai, Simpang Durian dan Muhamad Hijrah Hussin, 22, yang beralamat di Kampung Bemban, Durian Tipus.

    Beliau berkata, tiga suspek berkenaan antara yang paling dikehendaki pihaknya bagi membantu menyelesaikan kes berkenaan.

    Beliau meminta individu terbabit tampil membantu siasatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka diminta menghubungi IPD Jelebu di talian 06-6136222 atau balai polis berhampiran.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Duri Landak Buat Tikam Isteri "