• #DUNSarawak: Tiada Kajian Spesifik Perlu Dijalankan Untuk Lesen Pemprosesan Kayu Getah

    Published: Friday, 10 November 2017
    A- A+


    Menteri Muda Industri dan Perlaburan, Malcom Mussen Lamoh berkata pada masa ini, tiada kajian spesifik perlu dijalankan untuk mengeluarkan lesen memproses kayu getah kerana lesen sedia ada tidak membatas kegiatan tersebut.

    "Di bawah Rancangan Makaysia Ke -11 (RMK-11), kerajaan merancang untuk membangunkan kawasan seluas 150 ekar untuk industri am, terutamanya untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sibu.

    "Oleh kerana pembinaan kapal adalah industri penting di Sibu, Kerajaan juga telah meluluskan seluas 250 ekar kawasan untuk Perindustrian Rantau Panjang di bawah RMK-11," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan David Wong Kee Woan (DAP - Pelawan) mengenai kajian spesifik perlu dijalankan untuk mengeluarkan lesen memproses kayu getah di Sibu.

    Katanya, ini akan terus meningkatkan pembangunan perindustrian Sibu sebagai hab pembinaan kapal Malaysia.

    Mengenai rancangan kerajaan untuk perindustrian di Sibu, katanya, pada masa ini, Kerajaan sedang dalam proses menaik taraf infrastruktur sedia ada Fasa 1 Perindustrian Rantau Panjang.

    Sementara itu, Malcom turut menjawab soalan Datuk Ambrose Blikau Enturan (BN- Katibas) yang bertanyakan rancangan kerajaan untuk menyediakan tapak perindustrian di Song.

    Katanya, sebuah kawasan telah dikenal pasti untuk tujuan tersebut.

    "Kementerian saya sedang memohon peruntukan di bawah Kajian Separuh Penggal RMK-11," katanya. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Tiada Kajian Spesifik Perlu Dijalankan Untuk Lesen Pemprosesan Kayu Getah "