• #DUNSarawak : Taman Agro Dilengkapi Teknologi Digital Dibangunkan Di Sarawak

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUCHING : Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mentransformasikan sektor pertanian di negeri Sarawak dengan mewujudkan Taman Agro yang dilengkapi dengan teknologi digital di negeri ini, kata Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail.

    Menurutnya, tiga inisiatif utama adalah pemodenan, pengkomersialan dan penggunaan teknologi digital di dalam pembangunan sektor pertanian.

    "Namun, kerajaan masih belum mempunyai perancangan untuk menubuhkan Taman Agro di kawasan persisir seperti Matu dan Igan,"

    "Adalah menjadi hasrat kerajaan untuk meluaskan inisiatif ini ke kawasan lain bergantung kepada kesesuaian dan potensi pengeluaran hasil pertanian di kawasan berkenaan," katanya.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Juanda Jaya (BN-Jemoreng pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.

    Tambahnya, matlamat penubuhan Taman Agro adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai Net Food Exporter.

    "Agro Park yang pertama di negeri Sarawak akan dibangunkan di Bahagian Sarikei dengan keluasan 300 ekar,"

    "Ini adalah kerana bahagian tersebut telah dikenalpasti memiliki potensi yang tinggi di dalam pengeluaran hasil pertanian dan kedudukannya yang strategik serta mempunyai infrastruktur fizikal dan logistik yang baik," ujarnya.

    Jelasnya lagi, dengan wujudnya taman agro ini, pembangunan sektor pertanian di bahagian Sarikei yang dikenali sebagai “Food Basket” di kawasan tengah negeri Sarawak dapat dipergiatkan.- Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak : Taman Agro Dilengkapi Teknologi Digital Dibangunkan Di Sarawak "