• #DUNSarawak: Simunjan Perlukan Bandar Baharu

    Published: Tuesday, 14 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Bandar baharu perlu diwujudkan di Simunjan kerana pekan tersebut semakin sesak dan berdepan hakisan, kata Awla Dris (BN-Simunjan).

    Beliau berkata, jalan masuk ke pekan tersebut iaitu di Kampung Nanas juga agak sempit.

    Malah menurutnya, kewujudan bandar baharu itu akan menjadi tonik dalam mentransformasi Simunjan sebagai Pusat Pentadbiran Daerah Simunjan.

    "Cadangan mewujudkan Bandar Baharu Simunjan merupakan projek mega di daerah Simunjan.

    "Ia (bandar baharu) bukan sahaja melibatkan rancangan penempatan penduduk tetapi memacu aktiviti ekonomi setempat," katanya ketika membahaskan Bajet Sarawak 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Dengan kepadatan penduduk semakin meningkat di Simunjan, Awla berharap kerajaan melaksanakan program pembesaran kampung dan penempatan semula penduduk.

    "Terdapat ramai anak tempatan terpaksa tinggal di kuarters pekerja di ladang kerana tiada tanah untuk mendirikan rumah.

    "Adalah perlu untuk mempraktikkan Rancangan Pembesaran Kampung dan Rancangan Penempatan Semula Penduduk," ujarnya.

    Menurutnya, tanah seluas 40 hektar milik kerajaan telah dikenalpasti dan bersesuaian untuk dibangunkan sebagai tapak pembesaran kampung dan penempatan semula penduduk.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Simunjan Perlukan Bandar Baharu "