• #DUNSarawak : Sarawak Serius Perangi Najis Dadah

    Published: Thursday, 9 November 2017
    A- A+

    KUCHING : Kerajaan negeri komited mencari pendekatan bagi membantu mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di Sarawak.

    Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beberapa program kesedaran tentang bahaya dadah dilaksanakan kepada semua peringkat umur.

    “Ini bertujuan untuk mendidik masyarakat agar peka dan sedar tentang bahaya dan ancaman najis dadah di samping menanam sikap membenci dadah dan menghindarkan diri serta keluarga daripada dadah durjana,” katanya.

    Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan daripada Mohammad Razi Sitam (BN-Saribas) yang bertanyakan usaha kerajaan negeri mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Menurut Fatimah, untuk tahun 2017 kerajaan negeri dengan usaha sama dan sokongan pihak NGO, PEMADAM negeri Sarawak telah melaksanakan 89 program pendidikan pencegahan melibatkan seramai 9,556 orang.

    “AADK Sarawak juga telah melaksanakan 108 program pencegahan yang melibatkan kawasan pendalaman di seluruh negeri seperti Bahagian Mukah, Miri, Betong, Sarikei, Bintulu, Sri Aman dan Sibu,” ujarnya.

    Tambah Fatimah lagi, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Narkotik Sarawak juga sedang giat berusaha membanteras dan mencegah kegiatan pengedaran dadah dengan mengadakan ceramah dan pameran di sekolah-sekolah mahupun di agensi kerajaan.

    “Sepanjang tempoh Januari-September 2017, JSJ Narkotik Sarawak telah berjaya menumpaskan enam sindiket utama di negeri ini melibatkan 401 kes tangkapan bagi kategori bekalan, 1,352 kes bagi kategori memiliki dan 3,408 kes bagi kategori (urin positif),” jelasnya.

    Selain itu, JSJ negeri juga telah Berjaya membuat sitaan harta-harta terhadap pengedat-pengedar dadah yang berjumlah RM4,937,041 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

    Bagi rawatan dan pemulihan pula, Fatimah berkata kerajaan melalui AADK akan menubuhkan tujuh Care and Cure Service Centre Kuching (CCSC) baharu iaitu di Lawas, Samarahan, Betong, Serian, Mukah, Bintulu dan Sarikei untuk penagih menjalani pemulihan secara sukarela. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak : Sarawak Serius Perangi Najis Dadah "