• #DUNSarawak: Sarawak Pertimbang Graduan Lulusan Agama Mengajar Di Sekolah Rendah, Menengah

    Published: Friday, 17 November 2017
    A- A+

    KUCHING : Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk menempatkan graduan kelulusan agama menjadi guru subjek agama di sekolah rendah mahupun diperingkat tinggi di Sarawak.

    Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi, Dr Annuar Rapaee berkata, kerajaan negeri akan meneliti senarai nama yang dihantar oleh Timbalan YDP Majlis Islam, Datuk Dr Juanda Jaya.

    “Jika mereka berkelayakan kita akan panggil mereka untuk menjalani berberapa prosedur seperti ujian dan temuduga bagi mengenalpasti tempat-tempat mereka untuk mengajar subjek agama di seluruh negeri Sarawak.

    “Dengan senarai ini kita harap dapat mempertingkatkan jumlah guru agama di Sarawak dan mencapai hasrat 90:10 kerajaan,” katanya.

    Sementara itu, Dr Juanda Jaya berkata, beliau berharap kerajaan negeri memberi peluang dan keutamaan kepada graduan-graduan tempatan mengisi kekosongan guru-guru agama di negeri ini.

    “Hasrat ini sebenarnya adalah untuk memastikan graduan-graduan kita mendapat tempat di negeri mereka sendiri.

    “Kita tidak mahu orang luar memonopoli kekosongan yang ada di negeri ini. Sudah tentu mereka mahu kerja di sini disebabkan tempat mereka sendiri mungkin tiada peluang pekerjaan,” ujarnya.

    Juanda menambah, setakat ini , terdapat seramai 344 graduan kelulusan diploma dan ijazah dalam bidang agama.

    “Di Sarawak, kita mempunyai sekurang-kurangnya lebih 300 kekosongan guru agama.

    “Memandangkan kerajaan negeri memperjuangkan kuasa autonomi daripada kerajaan pusat kita juga mahu urusan-urusan agama seperti ini mendapat kuasa di negeri ini.” jelasnya.

    Justeru Juanda memohon pihak kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat agar keutamaan ini dapat dilakukan. - Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Sarawak Pertimbang Graduan Lulusan Agama Mengajar Di Sekolah Rendah, Menengah "