• #DunSarawak: Sarawak Negeri Termaju 10 Tahun Akan Datang

    Published: Wednesday, 8 November 2017
    A- A+


    KUCHING: Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi melahirkan keyakinan Sarawak mampu menjadi negeri termaju di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

    Ini kerana menurutnya, dalam Bajet Sarawak 2018 tumpuan turut diberikan kepada Ekonomi Digital yang dilihat mampu mempercepatkan perkembangan ekonomi Sarawak.

    "Kita lihat bajet kali ini fokus kepada ekonomi digital bagi membolehkan ekonomi negeri berkembang lebih pesat," katanya.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu Sarawak mencontohi Estonia yang menjadi negeri maju menerusi ekonomi digital.

    "Estonia yang merupakan sebuah negara miskin suatu ketika dahulu kini muncul sebagai antara negara maju di Eropah selepas memberi penekanan kepada ekonomi digital dalam tempoh 15 tahun," ujarnya.

    Mengulas mengenai Bajet Sarawak 2018 yang terus memberi tumpuan kepada pembangunan luar bandar, beliau berkata, ia adalah selaras dengan hasrat kerajaan negeri merapatkan jurang antara kawasan bandar dan luar bandar.

    "Dengan peruntukan khusus diberikan kepada kawasan luar bandar, ia akan mempercepatkan pembangunan terutama dari segi infrastruktur," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DunSarawak: Sarawak Negeri Termaju 10 Tahun Akan Datang "