• #DUNSarawak: Sarawak Jalin Kerjasama Dengan Negara Asia Tenggara Untuk Tingkat Nilai Dagangan

    Published: Thursday, 16 November 2017
    A- A+

    KUCHING: Kerajaan negeri akan menggiatkan usaha untuk meningkatkan nilai dagangan menerusi kerjasama dengan negara Asia Tenggara.

    Menteri Perdagangab Antarabangsa dan e-Dagang, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, ia merangkumi nilai dagangan berjumlah RM2.9 bilion dengan Thailand, RM1.5 bilion (Singapura), RM1.4 bilion (Indonesia), RM1.3 bilion (Vietnam) dan RM1 bilion (Filipina).

    "Kerjasama seperti ini sebagai usaha menjadikan Sarawak sebagai destinasi perdagangan pilihan di kalangan rakan perniagaan antarabangsa.

    "Kementerian saya akan terus melaksanakan inisiatif untuk meningkatkan hubungan perniagaan dengan rakan dagangan sedia ada seperti Jepun, China, Republik Korea, Taiwan dan Semenanjung Malaysia," katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

    Setakat September 2017, Wong menjelaskan rakan dagangan terbesar Sarawak merupakan Semenanjung Malaysia dengan nilai pelaburan RM25.7 bilion.

    Ia diikuti Jepun (RM22.1 bilion), China (RM11.4 bilion), Republik Korea (RM6.2 bilion), Taiwan (RM5.1 bilion), India (RM4.4 bilion), Australia (RM2.6 bilion) dan Turki (RM2.2 bilion).

    Sementara itu, Wong menjelaskan, nilai dagangan tahun lepas menurun dari RM123 bilion pada 2015 kepada RM117 bilion.

    "Bagaimanapun, kita berbangga kerana prestasi perdagangan Sarawak dari Januari hingga September tahun ini menunjukkan trend peningkatan," ujarnya.

    Menurutnya lagi, eksport Sarawak setakat September 2017 berjumlah RM71 bilion berbanding hanya RM55 bilion didaftarkan dalam tempoh sama tahun lepas.

    "Sehingga September 2017, eksport ke Turki meningkat 155 peratus, Thailand (119 peratus), Belanda (47 peratus) dan India (25 peratus).

    "Ini menunjukkan trend peningkatan dan mengiktiraf reputasi Sarawak sebagai rakan dagangan terbaik," jelasnya.-Sarawakiana
  • No Comment to " #DUNSarawak: Sarawak Jalin Kerjasama Dengan Negara Asia Tenggara Untuk Tingkat Nilai Dagangan "